IDEAS gesa pelaksanaan DPP telus demi pengurusan pelarian lebih berkesan

Iklan
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan Kerangka Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dilakukan secara telus dan bertanggungjawab bagi mewujudkan sistem pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan berkesan.

Sempena Hari Pelarian Sedunia, IDEAS berkata, kerangka tersebut membuka peluang penting untuk Malaysia mengimbangi pertimbangan kemanusiaan, keyakinan awam dan kepentingan sosioekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Peningkatan retorik kebencian terhadap pelarian Rohingya di media sosial sejak kebelakangan ini amat membimbangkan walaupun perbincangan mengenai dasar dan pengurusan pelarian adalah sesuatu yang wajar.

"Kebimbangan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan bahasa yang bersifat perkauman, xenofobik atau yang merendahkan martabat manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut IDEAS, pengumuman terkini Kementerian Dalam Negeri mengenai pelaksanaan Kerangka Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menandakan satu perkembangan penting dalam pendekatan negara terhadap pengurusan pelarian.

Katanya, kerangka itu membuka peluang untuk mewujudkan sistem pendaftaran dan pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan telus.

Iklan

"Namun begitu, masih terdapat persoalan penting mengenai hak, tanggungjawab dan perlindungan yang akan dinikmati oleh pelarian yang berdaftar serta bagaimana kerangka ini akan berinteraksi dengan mekanisme sokongan sedia ada," katanya.

Organisasi itu turut merujuk kajian IDEAS pada tahun 2019 menganggarkan bahawa pemberian akses pekerjaan yang sah kepada pelarian berpotensi menyumbang lebih daripada RM3 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, kajian tersebut turut mendapati bahawa akses yang lebih baik kepada pendidikan boleh meningkatkan sumbangan ekonomi jangka panjang pelarian secara signifikan di samping menghasilkan manfaat yang lebih luas kepada perniagaan, tenaga kerja dan kewangan awam.

Sehubungan itu, IDEAS mengesyorkan kerajaan memperjelaskan garis panduan pelaksanaan DPP, termasuk kriteria kelayakan serta akses kepada pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam lain.

Selain itu, organisasi berkenaan turut menggesa penubuhan kerangka pengurusan pelarian yang telus dan bertanggungjawab, termasuk perlindungan data peribadi serta pelaporan berkala kepada orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, ketelusan yang lebih tinggi membolehkan satu perbincangan jujur mengenai kos, kekangan dan kompromi yang terlibat dalam pengurusan migrasi dan pemindahan paksa.

Menurutnya, apabila perdebatan awam dipacu oleh andaian dan bukannya bukti, penggubal dasar akan berdepan kesukaran yang lebih besar untuk merangka penyelesaian yang berkesan dan mampan.

"Dasar yang baik bermula dengan maklumat yang tepat, kerangka tadbir urus yang jelas dan pemahaman yang realistik tentang kapasiti negara.

"Keyakinan awam lebih mudah dipupuk apabila dasar dilaksanakan secara telus, tanggungjawab diterangkan dengan jelas dan masyarakat memahami bagaimana keputusan dibuat.

"Pendekatan yang mampan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, majikan, masyarakat sivil, organisasi antarabangsa serta komuniti tempatan,” katanya.