SHAH ALAM – Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim diminta menarik balik kenyataannya yang menggesa supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) dibatalkan selain turut didesak memohon maaf kepada umat Islam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia kerana kenyataan Chang Khim yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu tidak sensitif serta tidak selari dengan semangat perpaduan dan saling menghormati yang menjadi asas pembinaan negara ini.
Kata Zainul Rijal, tiga hari berturut-turut beliau terpaksa menjawab kenyataan pemimpin atau bekas pemimpin DAP yang membuat kenyataan mengenai agama Islam.
“Terkini, Chang Khim mendesak agar cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan TRX dibatalkan atas alasan kononnya akan menimbulkan ketidakharmonian dan mengganggu aktiviti komersial serta hiburan.
“Ini adalah satu kenyataan yang amat dikesali, tidak bertanggungjawab dan sarat dengan prejudis terhadap Islam serta institusi masjid. Adalah keterlaluan dan tidak masuk akal untuk menggambarkan sebuah masjid sebagai ancaman kepada keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu Chang Khim dilapor menggesa cadangan pembinaan Masjid Warisan di sebuah tapak di hadapan Menara TRX dibatalkan kerana mendakwa ia berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pelan tersebut akhirnya akan membawa pertembungan aktiviti kebudayaan dalam satu kawasan yang telah dibangunkan sebagai pusat komersial dan hiburan yang rancak di Kuala Lumpur.
"Adakah semua aktiviti dalam kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan disiarkan pada masa hadapan? Mengapa kita perlu mewujudkan sensitiviti yang boleh dijangka berlaku sedangkan pada masa ini tiada sebarang sensitiviti sedemikian? Idea yang tidak masuk akal ini mesti dibatalkan," dakwanya.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mempersoalkan logik yang disandarkan sehingga Chang Khim menganggap laungan azan dan kewujudan sebuah rumah ibadat umat Islam mampu mencetuskan pertembungan budaya dan sensitiviti.
“Jika logik sedemikian diterima, maka ia membuka ruang untuk mana-mana rumah ibadat atau amalan keagamaan lain turut dianggap sebagai ancaman kepada kehidupan bandar moden.
“Kenyataan beliau yang mempersoalkan sama ada aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan berkumandang juga jelas memperlihatkan ketidakfahaman, malah boleh ditafsirkan sebagai cubaan menimbulkan ketakutan dan sentimen negatif terhadap syiar Islam.
“Azan telah berkumandang di negara ini sejak sebelum merdeka lagi dan tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan atau kehidupan masyarakat majmuk,” tegasnya.
Zainul Rijal mendakwa, lebih membimbangkan, Chang Khim juga seolah-olah menganggap bahawa sebuah metropolis bertaraf antarabangsa tidak sepatutnya mempunyai sebuah masjid ikonik di tengah-tengah pembangunan moden.
Menurutnya, pandangan sedemikian amat sempit dan bertentangan dengan realiti bandar-bandar utama dunia yang menampilkan rumah-rumah ibadat sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan mereka.
“Apakah Kuala Lumpur harus menanggalkan identitinya semata-mata untuk memenuhi tafsiran sempit segelintir pihak mengenai konsep bandar antarabangsa? Sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dan syiar Islam sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
“Tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan pembinaan sebuah masjid yang sah di atas tanah yang diperuntukkan mengikut undang-undang semata-mata kerana kebimbangan yang dibina atas andaian dan prasangka,” katanya.
Menurutnya, amat malang apabila seorang tokoh politik veteran memilih untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan syak wasangka terhadap Islam sedangkan beliau sepatutnya berperanan sebagai jambatan yang memperkukuhkan persefahaman antara kaum dan agama.
“Masjid Warisan bukan ancaman kepada keharmonian. Sebaliknya, kenyataan yang bersifat prejudis, provokatif dan membina ketakutan terhadap syiar Islam itulah yang sebenarnya berpotensi menggugat keharmonian negara,” tegasnya lagi.