JOHOR BAHRU – DAP mempertaruhkan calon Melayu, Nor Zulaila Abd Ghani, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, manakala Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor, Lee Wern Yiing, diumumkan sebagai calon parti itu untuk DUN Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman kedua-dua calon Pakatan Harapan (PH) itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Majlis Pengumuman Calon N.42 Johor Jaya dan N.40 Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Timbalannya, Wong Shu Qi.
Nor Zulaila, 38, yang mesra dipanggil Lily, merupakan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang sejak 2018 dan mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, pembangunan komuniti serta pentadbiran kerajaan.
Anak jati Lenga, Muar itu pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi, Pengurus Penyelaras DUN Semenyih dan Pembantu Ahli Parlimen Serdang sebelum dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Timbalan Menteri Kewangan.
Dalam ucapannya, Nor Zulaila merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili PH di Tiram.
"Saya mahu membawa suara rakyat serta memastikan polisi dan dasar yang baik dapat kembali memberi manfaat kepada mereka selain melakukan perubahan yang lebih baik.
"Saya juga menyeru seluruh jentera PH supaya berkempen secara berhemah dengan menawarkan harapan serta politik matang yang tidak memecahbelahkan kaum," katanya.
Sementara itu, Wern Yiing, 30, menyifatkan pencalonannya sebagai satu amanah besar dan berjanji akan meneruskan khidmat serta legasi penyandang DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Menurutnya, pengalaman selama lapan tahun berkhidmat bersama Liow akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu penduduk dan menyuarakan isu rakyat di kawasan berkenaan.