PENYANYI dan komposer Aina Abdul membuka fasa baharu dalam perjalanan seninya menerusi dua single,"Berjauh-an” dan"Sadis”, yang disifatkan lebih mudah didekati pendengar muda tanpa meninggalkan identiti vokalnya.
Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata, pendekatan itu dipilih bagi memberi ruang kepada pendengar baharu mengenali karya beliau dalam bentuk yang lebih ringan dari segi melodi, namun masih mengekalkan emosi dan gaya penyampaian yang menjadi kekuatannya.
"Pendengar baharu yang datang ini kita kena raikan juga jenis muzik mereka, tetapi masih lagi dalam DNA saya kerana saya rasa Berjauh-an dengan Sadis ini tidak jauh beza pun daripada Aina Abdul.
"Saya tidak akan tinggalkan DNA saya, saya seorang penyanyi dan melalui bertahun-tahun belajar bagaimana hendak menyanyi nota tinggi, jadi saya tidak akan tinggalkan benda itu,” katanya pada sidang media pelancaran dua single itu di sebuah hotel di sini semalam.
Aina berkata, Berjauh-an dan Sadis menjadi permulaan kepada warna baharu album keduanya yang dijangka dilancarkan tahun ini, dengan proses pembikinannya hampir 80 peratus siap dan baki lagu sedang digubah dan dijadualkan siap dalam tempoh kira-kira dua bulan akan datang.
"Perancangannya, saya mahu album ini dapat ke udara pada hari lahir saya, 25 Oktober, insya-ALLAH,” katanya.
Mengenai Sadis, Aina berkata, lagu itu merupakan kesinambungan emosi daripada Berjauh-an yang dilancarkan pada 24 April lepas, dengan memberi tumpuan kepada fasa selepas perpisahan, kehilangan dan penyesalan dalam sesebuah hubungan.
Beliau berkata, jika Berjauh-an menggambarkan hubungan yang diuji jarak dan masa, Sadis pula membawa pendengar menyelami fasa selepas kehilangan, apabila seseorang mula menyedari nilai insan yang pernah hadir dalam hidupnya.
"Sadis adalah lagu yang sangat peribadi dan antara karya paling menyembuhkan buat saya kerana ia membuatkan saya mengingati perkara yang sudah lepas dan tidak boleh saya kembali semula,” katanya.
Bercerita lanjut, Aina berkata, lagu itu turut mengingatkan beliau kepada zaman muda, pengalaman cinta pertama serta kerinduan terhadap insan tersayang termasuk arwah bapanya.
"Bila kita sudah meningkat usia, kita rindu suara ibu dan bebelannya, dan bagi saya yang masih ada ibu tetapi sudah tiada ayah, saya juga rindu pujukan ayah saya,” katanya.
Ditulis dan digubah sendiri oleh Aina, Sadis sekali lagi menyaksikan kerjasamanya dengan pemuzik dari Indonesia, Vega Antares Setianegara yang turut terbabit dalam penghasilan Berjauh-an.
Aina berkata, beliau selesa bekerjasama dengan Vega kerana pemuzik itu memahami emosi dan suasana yang mahu disampaikan dalam karya berkenaan.
Sadis diperkenalkan menerusi cuitan di TikTok dan Instagram bermula 12 Jun lepas sebelum dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital semalam.
Berjauh-an pula boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 24 April lepas, manakala video muzik rasminya dilancarkan di saluran YouTube rasmi Aina Abdul pada 26 April.- Bernama