SHAH ALAM - Penggunaan tren diesel bagi perkhidmatan Shuttle Selatan adalah keputusan yang dibuat berdasarkan pertimbangan profesional bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam tanpa perlu menunggu lebih lama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ramai yang mempersoalkan mengapa perkhidmatan Shuttle Selatan menggunakan tren diesel.
"Apabila projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru siap, perkhidmatan tren elektrik (ETS) mengambil alih laluan tersebut.
Tambah beliau, pilihan berkenaan iaitu sama ada menunggu dua hingga tiga tahun untuk 10 set Tren Electric Multiple Unit (EMU) baharu siap dibina atau menggunakan tren yang sedia ada supaya rakyat Johor tidak perlu menunggu lebih lama.
Menurutnya, kementerian membuat pertimbangan yang profesional dan memilih pilihan yang kedua.
"Hasilnya penduduk di sekitar laluan Shuttle Selatan kini adanya mod pengangkutan alternatif dari Kulai ke JB Sentral dalam masa lebih kurang 30-40 minit.
"Tambahan pula, laluan Kempas Baru-Pasir Gudang yang selama ini hanya digunakan untuk kargo kini dibuka untuk penumpang buat pertama kalinya.
"Ini juga tetap perkhidmatan bersubsidi dengan kerajaan menyediakan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun," katanya.
Jelasnya lagi, tren EMU baharu akan tiba pada masanya tetapi selagi rakyat boleh gunakan perkhidmatan itu sekarang, tidak ada sebab untuk menunggu.
Anthony sebelum ini memaklumkan 10 set tren komuter baharu Perkhidmatan Shuttle Selatan akan diterima bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan awam rel di Johor.
Katanya, kerajaan telah meluluskan perolehan tren baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Komuter Selatan dengan kos dianggarkan bernilai RM200 juta.
Menurutnya, perkhidmatan Shuttle Selatan yang dilancarkan itu menggunakan aset tren sedia ada susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru yang membolehkan perkhidmatan ETS beroperasi terus ke Johor Bahru Sentral.