REMAJA perempuan berusia 15 tahun dipercayai menjadi mangsa samun dan rogol ketika berjoging di Palekbang, Tumpat pada cuti Awal Muharram, mengingatkan semula bahawa keadaan tidak dijangka boleh berlaku dalam rutin harian yang sering dianggap biasa oleh masyarakat.
Aktiviti riadah seperti berjoging, berjalan kaki dan berbasikal terus menjadi pilihan ramai kerana manfaatnya terhadap kesihatan fizikal serta mental.
Walaupun kebanyakan aktiviti harian berlangsung tanpa sebarang masalah, kesedaran terhadap aspek keselamatan tetap penting sebagai persediaan menghadapi perkara yang tidak disangka.
Pemilihan lokasi sesuai, mempunyai akses yang baik serta kerap dikunjungi orang ramai sering menjadi antara faktor membantu meningkatkan tahap keselamatan pengguna.
Persekitaran awam yang selamat pula bukan sekadar bergantung kepada kehadiran pihak berkuasa, malah memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.
Amalan memaklumkan lokasi kepada ahli keluarga atau rakan terdekat juga boleh menjadi satu langkah tambahan yang memberi ketenangan kepada semua pihak.
Kemudahan seperti pencahayaan yang baik, kamera pemantauan dan rondaan berkala turut memainkan peranan dalam mewujudkan suasana lebih meyakinkan kepada pengguna.
Pada masa sama, usaha berterusan pihak berkuasa tempatan untuk menambah baik kemudahan awam wajar disokong demi keselesaan masyarakat.
Keprihatinan orang ramai terhadap keadaan sekeliling juga mampu membantu mewujudkan budaya saling mengambil berat dalam komuniti.
Sikap peka terhadap sebarang keadaan luar biasa dan kesediaan menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan boleh membantu memperkukuhkan keselamatan kawasan awam.
Perbincangan mengenai keselamatan tidak seharusnya tertumpu ketika berlakunya sesuatu insiden sahaja, sebaliknya perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan yang berterusan.
Kawasan rekreasi dan ruang awam seharusnya kekal menjadi tempat yang selamat, mesra serta memberi manfaat kepada masyarakat untuk menjalani aktiviti harian dengan yakin.