SHAH ALAM - Golongan wanita perlu membina ketabahan berasaskan panduan al-Quran supaya mampu mendepani cabaran kehidupan dengan sabar, sekali gus mengelakkan sikap mudah mengeluh atau meletakkan diri sebagai mangsa.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, mesej itu menjadi teras penganjuran program Women Summit & Women #QuranHour: Women of Grit yang bertujuan melahirkan wanita berjiwa kental dan istiqamah menghadapi ujian kehidupan seharian.
"Kita mahu membina wanita yang mempunyai 'grit' atau ketabahan dan salah satu tema penting dalam surah al-Muzzammil ialah kesabaran seperti ditunjukkan Saidatina Khadijah RA dan isteri-isteri nabi.
"Mereka sentiasa sabar dan mampu menghadapi kepayahan untuk terus memberi sumbangan, bukannya 'play victim' apabila berdepan kesukaran," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Program Women Summit & Women #QuranHour: Women of Grit anjuran Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan Asia Pacific Women's Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP) dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 24 Jun ini.
Ia merupakan sebahagian inisiatif Saff Women Empowerment dilancarkan WUIF sempena World #QuranConvention Surah Al-Saff pada Disember lalu.
Sementara itu, mengulas cabaran wanita masa kini, Fazrul menjelaskan tanggungjawab dipikul golongan itu semakin berat dan berpotensi menjejaskan emosi serta kesabaran sekiranya tidak dipandu dengan nilai-nilai al-Quran.
Menurut beliau, surah al-Muzzammil menggambarkan Rasulullah SAW berdepan cabaran dan bebanan berat ketika berdakwah.
"Dalam surah al-Balad juga disebut mengenai kesusahan boleh menyebabkan seseorang hilang sabar dan kasih sayang walaupun dia seorang wanita," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penyelesaian terbaik ialah kembali kepada panduan al-Quran, termasuk menghidupkan amalan qiamullail seperti yang dianjurkan dalam surah al-Muzzammil, selain tidak bertindak mengikut emosi.