Kerusi Parlimen bukan hak milik peribadi

Iklan
Undi rakyat bukan sekadar menentukan pemenang pilihan raya, tetapi amanah untuk mewakili suara pengundi. Foto fail Bernama

PERKEMBANGAN mutakhir melibatkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad telah membangkitkan satu persoalan demokrasi yang sangat fundamental untuk kita renungkan bersama.

Siapakah pemilik sebenar kerusi seseorang ahli Parlimen? Adakah ia milik mutlak ahli politik itu sendiri, kepunyaan parti yang diwakilinya atau hakiki milik rakyat yang telah mengundi mereka?

Iklan
Iklan

Bagi saya, jawapannya cukup jelas. Seseorang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mungkin bertanding di bawah panji sesebuah parti, namun sebaik sahaja mereka dipilih, kesetiaan dan tanggungjawab utama mereka adalah kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan.

Prinsip inilah yang membentuk tiang seri sesebuah sistem demokrasi.

Iklan

Dari sudut perundangan dan perlembagaan, Malaysia mengamalkan sistem Parlimen Westminster. Secara teknikal, setelah dipilih, seseorang ahli Parlimen tidak terikat di sisi undang-undang untuk menuruti setiap kehendak pengundi.

Sebaliknya, mereka tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Parlimen dan disiplin parti.

Iklan

Namun, kita harus beringat bahawa demokrasi tidak terbina atas keabsahan teknikal semata-mata, sebaliknya turut berasaskan keabsahan moral. Dari sudut moral, mandat yang dipegang oleh wakil rakyat datang secara langsung daripada rakyat.

Atas dasar itulah undang-undang anti-lompat parti diperkenalkan di Malaysia selepas negara mengharungi fasa ketidakstabilan politik yang panjang akibat tindakan berpaling tadah dan percaturan politik.

Semangat sebenar di sebalik undang-undang tersebut adalah untuk memastikan mandat pengundi tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan selepas pilihan raya.

Ia secara tidak langsung mengiktiraf bahawa kerusi yang dimenangi bukanlah harta peribadi seseorang ahli politik.

Oleh itu, kita perlu membezakan secara jelas antara tindakan meletakkan jawatan daripada parti politik dengan tindakan mengosongkan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Kedua-dua perkara itu tidak sama.

Jika ahli Parlimen tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan, tidak bersetuju dengan hala tuju perjuangan atau berasa tidak lagi serasi dengan dinamika parti, mereka mempunyai hak sepenuhnya untuk keluar atau meletakkan jawatan daripada parti tersebut. Itu adalah hak politik individu.

Bagaimanapun, tindakan mengosongkan kerusi adalah perkara yang jauh berbeza. Dari sudut moral, kerusi tersebut membawa amanah dan mandat demokrasi rakyat.

Sebab itulah ahli politik tidak boleh sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi Parlimen atau DUN semata-mata disebabkan krisis dalaman parti, perebutan kuasa, pergolakan puak atau pelan strategi politik sesama mereka.

Sekiranya wujud perjanjian dalaman parti yang menetapkan sesiapa yang keluar parti perlu membayar denda atau pampasan sama ada RM10 juta atau apa-apa jumlah sekalipun, maka itu adalah urusan komersial dan kontrak peribadi antara ahli politik tersebut dengan partinya.

Rakyat tidak sepatutnya dijadikan 'mangsa keadaan' akibat aturan politik dalaman sedemikian.

Isyarat bahaya kepada demokrasi

Jika seseorang wakil rakyat mahu keluar parti kerana tidak lagi sehaluan, mereka harus menanggung sendiri implikasinya secara peribadi termasuk membayar apa-apa penalti yang telah dipersetujui dalam"kontrak politik" mereka.

Mandat awam yang telah diberikan oleh pengundi tidak boleh dikorbankan di pertengahan jalan hanya kerana kemelut dalaman parti.

Perkara itu menjadi lebih kritikal sekiranya peletakan jawatan berlaku selepas dua tahun pertama pilihan raya umum.

Mengikut amalan semasa, apabila tempoh Parlimen sudah menghampiri penghujungnya, kekosongan kerusi tidak semestinya membawa kepada pilihan raya kecil (PRK).

Dalam situasi sebegini, kawasan Parlimen berkenaan akan terbiar tanpa wakil rakyat untuk tempoh tertentu hanya disebabkan percaturan politik yang langsung tiada kaitan dengan kebajikan pengundi. Ia merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap rakyat.

Rakyat turun mengundi untuk diwakili bagi tempoh satu penggal penuh, bukannya untuk kehilangan suara akibat perselisihan faham atau perkiraan strategik sesebuah parti politik.

Jika tidak, apakah mesej yang sedang kita sampaikan kepada rakyat Malaysia? Adakah undi mereka tidak sepenting rundingan di bilik belakang parti?

Adakah percaturan politik dalam kalangan elit lebih utama daripada mandat rakyat?

Ini merupakan isyarat yang sangat berbahaya kepada sistem demokrasi kita. Apabila wakil rakyat mula menganggap kerusi yang dimenangi sebagai alat permainan catur politik dan bukannya amanah, lambat-laun rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya itu sendiri.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Malaysia mempertimbangkan secara serius undang-undang yang lebih tegas mengenai perkara tersebut.

Sekiranya seseorang wakil rakyat mengosongkan kerusi secara sukarela atas sebab perselisihan politik dalaman, pergolakan puak atau aturan peribadi parti, maka individu tersebut sewajarnya dilarang daripada bertanding semula sekurang-kurangnya bagi satu atau dua kitaran pilihan raya akan datang.

Cemari kesucian mandat pengundi

Tindakan mengosongkan kerusi tanpa sebab yang kukuh mendatangkan implikasi dan kos yang amat besar kepada negara, antaranya:

• Kos kewangan: Perbelanjaan besar untuk menguruskan PRK yang tidak sepatutnya berlaku.

• Kos pentadbiran: Pembaziran sumber manusia dan logistik agensi kerajaan.

• Ketidakstabilan politik: Mengganggu fokus tadbir urus negara.

• Kelesuan emosi awam: Rakyat menjadi muak dengan kerenah politik.

• Gangguan khidmat kawasan: Menjejaskan kebajikan dan penyampaian bantuan kepada penduduk setempat.

Dan yang paling utama, ia mencemari kesucian mandat yang telah diamanahkan oleh pengundi.

Kesimpulannya, ini bukan bermakna ahli Parlimen atau ADUN langsung tidak boleh melepaskan jawatan mereka.

Terdapat sebab-sebab munasabah yang boleh diterima seperti masalah kesihatan yang serius, ketidakupayaan fizikal untuk berkhidmat, pelanggaran etika dan salah laku berat atau situasi peribadi mendesak yang benar-benar menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

Namun, politik dalaman parti sama sekali tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk memulangkan mandat awam yang telah diamanahkan oleh ribuan pengundi.

Mungkin erti reformasi pada hari ini bukan lagi sekadar menukar kerajaan atau mengubah gabungan politik. Reformasi hari ini menuntut kita memperkukuh dan memelihara kesucian mandat rakyat itu sendiri.

Kerana pada akhirnya, kita perlu sedar bahawa kerusi seorang ahli Parlimen tidak sesekali boleh dilayan seperti harta milik peribadi.

*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Anas Zubedy (M) Sdn Bhd, merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama