PIALA Dunia FIFA 2026 di Amerika Utara mula dihantui trend permainan keras apabila jumlah kad merah yang dilayangkan setakat awal kejohanan sudah mencetuskan kebimbangan.
Dalam hanya 27 perlawanan, enam pemain sudah dibuang padang sekali gus melepasi jumlah keseluruhan kad merah sepanjang edisi 2018 di Rusia dan 2022 di Qatar yang masing masing merekodkan empat kes sahaja.
Iklan
Iklan
Situasi luar biasa itu bermula seawal aksi pembukaan Kumpulan A membabitkan Mexico dan Afrika Selatan di Mexico City menyaksikan tiga pemain diperintah keluar padang.
Dalam perlawanan tersebut, dua pemain Afrika Selatan iaitu Sphelele Sithole dan Temba Zwane serta César Montes dari Mexico telah diperintah keluar padang.
Kecenderungan pengadil yang tidak teragak-agak mengeluarkan kad merah berterusan dalam aksi berikutnya apabila Bosnia dan Herzegovina kehilangan Tariq Muharemovic ketika berdepan Switzerland, sebelum dua lagi kad merah dilayangkan kepada Qatar menerusi Homam Elamin dan Asem Madibo dalam pertemuan menentang Kanada.
Perlawanan Kanada dan Qatar yang menjadi aksi ke 27 kejohanan itu menyaksikan jumlah keseluruhan kad merah meningkat kepada enam sekali gus jauh mengatasi rekod gabungan dua edisi terdahulu dan menimbulkan persoalan terhadap tahap disiplin pemain serta ketegasan pengadilan dalam kejohanan kali ini.
Lebih membimbangkan beberapa insiden turut memberi kesan besar terhadap keputusan perlawanan apabila Bosnia tewas 1-4 kepada Switzerland dan Qatar dibelasah 0-6 kepada Kanada manakala Afrika Selatan yang beraksi dengan kekurangan pemain tumpas 0-2 kepada Mexico.