KKM teliti kesan pelajar IPT pulang: Ismail Sabri

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti kesan keselamatan kesihatan berhubung cadangan untuk menghantar pulang pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) yang berada di kolej sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sangat penting kerana melibatkan pergerakan keluar dari universiti awam dan swasta pada skala yang besar iaitu hampir 80,000 orang pelajar di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Kita menerima cadangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini (semalam) namun perlu meneliti dengan lebih lagi kerana melibatkan pergerakan keluar pelajar yang sangat besar iaitu hampir 80,000 pelajar.

"Jumlah yang kita terima daripada pelajar di kampus atau kolej tetapi tidak termasuk pelajar di luar kampus yang mempunyai keinginan sama (pulang ke rumah).

"Kita telah dibentangkan dengan cadangan tersebut tetapi oleh kerana jumlah yang besar, kita minta supaya KKM melihat perkara ini dan kesannya kepada kesihatan bukan sahaja pelajar tetapi penduduk di kawasan sekitar apabila mereka pulang," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini semalam.

Iklan
Iklan

Ismail Sabri berkata, KKM kini melihat angka positif jangkitan koronavirus (Covid-19) mengalami sedikit penurunan tetapi kerajaan bimbang pergerakan pelajar keluar dari IPT pulang ke kediaman ibu bapa bakal menyebabkan usaha memutuskan rantaian jangkitan virus ini terjejas.