147 bekas tentera hadir temu duga warden MRSM

Iklan
Calon yang terdiri daripada bekas tentera perlu melalui ujian pemeriksaan BMI, 'bleep test' dan temuduga bersemuka.

SHAH ALAM - Seramai 147 calon warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hadir menjalani temuduga fizikal selepas berjaya melepasi dua fasa saringan secara dalam talian.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua calon yang terdiri daripada bekas tentera perlu melalui tiga komponen penilaian iaitu ujian pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), 'bleep test' dan temuduga bersemuka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia bagi menentukan merit dan kelayakan untuk dilantik sebagai Warden Luar Sepenuh Masa MRSM yang bakal memulakan tugas pada 1 Julai depan.

"Bagi saya, menjadi warden MRSM bukan sekadar menjaga disiplin dan keselamatan pelajar. Mereka perlu memahami serta menghayati Falsafah Pendidikan Mara. Untuk melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki sahsiah terpuji, akhlak baik, integriti tinggi dan ilmu ukhrawi bermanfaat.

Iklan

"Warden ialah ibu dan ayah kedua kepada anak-anak MRSM yang berperanan sebagai pembimbing, pendidik serta murabbi dalam membentuk generasi pewaris negara cemerlang dunia dan akhirat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Antara calon warden luar sepenuh masa MRSM yang menghadiri temuduga.

Iklan

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berharap usaha sedemikian dapat terus membendung budaya buli, salah laku disiplin dan gejala sosial.

Di samping itu, katanya, membentuk persekitaran MRSM yang lebih selamat, kondusif dan subur dengan ‘biah solehah’ yang menekankan nilai adab, hormat-menghormati, kasih sayang, ukhuwah serta budaya menuntut ilmu.

Sesi temuduga fizikal pemilihan Warden Luar Sepenuh Masa MRSM itu berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Inkubator Teknologi Makanan Mara Kepong.

Sesi temuduga fizikal pemilihan warden MRSM berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Inkubator Teknologi Makanan Mara Kepong.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan seramai 162 calon warden bekas tentera dalam kalangan wanita akan menjalani sesi temuduga fizikal pada minggu hadapan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kehadiran warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM berjaya mencatatkan impak luar biasa apabila isu salah laku disiplin didapati menurun drastik.

Pelaksanaan inisiatif itu juga menyaksikan masalah buli dalam kalangan pelajar kini merekodkan status hampir sifar sepanjang keberadaan warden tersebut.

Keberkesanan itu dibuktikan secara rasmi menerusi laporan lengkap 'Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera' yang dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang setebal 191 muka surat, baru-baru ini.

Buku laporan tersebut diserahkan oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman kepada Asyraf Wajdi.