SHAH ALAM - Sebarang aktiviti termasuk mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu susulan maklum balas rasmi yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan berkenaan.
Menurut beliau, surat bertarikh 19 Jun yang diterima daripada RoS mengesahkan penerimaan beberapa dokumen berkaitan perubahan kepimpinan serta struktur organisasi PN.
Katanya, RoS turut mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari lalu serta mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai penggantinya.
“RoS turut mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac 2026 serta senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa 22 Februari lalu bagi menggantikan Muhyiddin.
Pada 30 Disember tahun lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, perkembangan itu membuktikan bahawa segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut peruntukan perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Beliau menegaskan bahawa PN kekal komited memastikan setiap aktiviti dan urusan organisasi dilaksanakan secara teratur serta selaras dengan kehendak undang-undang.