KOTA MELAKA - Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, seorang pengundi muda bersama tiga ahli keluarganya sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer dari kediaman mereka di Taman Desa Duyong untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Pua Wei Kang, 25, berkata, mereka sekeluarga tiba di Sekolah Rendah Agama Seri Duyong kira-kira jam 8 pagi bagi membuang undi.
Menurutnya, keputusan untuk berjalan kaki dibuat bagi mengelakkan kesesakan di sekitar pusat mengundi.
Selainnya, tiga ahli keluarga yang turut serta ialah ibunya, Gan Lay Kaw, 58, abangnya, Pua Wei Seng, 30, dan kakaknya, Pua Chiau Bing, 27.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: 240 pusat mengundi dibuka serentak jam 8 pagi
PRN Melaka: Warga emas tidak lena tidur teruja mahu raikan pesta demokrasi
PRN Melaka: Selesai mengundi, Ab Rauf ingatkan pengundi jangan tunggu petang
PRN Melaka: Selepas 14 tahun, empat beranak asal Kelantan pertama kali undi di Melaka
PRN Melaka: Diserang strok ketika memandu, Syamsinar tetap gigih mengundi
PRN Melaka: Bergegas mengundi, apron berniaga pun tak sempat ditanggalkan
Wei Kang berkata, ini merupakan kali kedua dia mengundi, namun pengalaman pertama menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya rasa bangga dapat tunaikan tanggungjawab mengundi. Saya harap Melaka akan ada masa depan yang lebih baik, lebih banyak kemudahan disediakan dan rakyat hidup gembira serta sejahtera.
“Saya tidak kisah siapa yang menang, asalkan mereka dapat buat yang terbaik untuk Melaka,” jelasnya.
Dia turut berharap Melaka terus maju dan kekal aman dengan rakyat pelbagai kaum hidup dalam suasana bersatu padu.
“Melaka kita mesti maju dan sentiasa aman. Tidak kira apa kaum sekalipun, kita semua mesti bersatu padu.
“Selepas itu, kita bangkitkan Melaka bersama-sama dengan Malaysia,” katanya.