CHANGLUN - Seorang pengusaha cuci kereta warga Rohingya dicekup Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana menunggang motosikal tanpa lesen ketika keluar membeli barangan keperluan perniagaannya di sini pada Khamis.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan Unit Penguatkuasa Bermotosikal JPJ di persimpangan lampu isyarat Pekan Changlun kira-kira jam 11.11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memandu tanpa lesen sah dan menggunakan kenderaan dengan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans yang berkuat kuasa.
"Susulan pelbagai kesalahan yang dikesan, kita bertindak menyita kenderaan tersebut sebelum dibawa ke Depoh Sita JPJ Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 13 notis saman terhadap warga asing terbabit atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki Rohingya berusia 43 tahun ditahan ketika memandu Perodua Alza sekitar Alor Setar kira-kira jam 9.27 pagi, hari yang sama.
Katanya, saman dikeluarkan ke atas lelaki itu kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kenderaan tersebut didakwa disewa daripada pemilik warga Pakistan.
Selain itu, JPJ Kedah turut menahan seorang lelaki Rohingya yang tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten, memandu secara tidak berhemah dan dikesan mempunyai kesalahan teknikal pada motosikal di Serdang.
Stien Van Lutam menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan tanpa mengira status atau kewarganegaraan.