Warga Bangladesh guna sewa atas sewa berniaga di pasar borong

Iklan
Warga asing dikesan menjalankan perniagaan di Pasar Borong MPHTJ.

MELAKA - Warga Bangladesh dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Batu Berendam di sini menerusi Ops Nyahniaga yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, pemeriksaan mendapati berlaku penyalahgunaan lesen melalui aktiviti sewa atas sewa daripada pemilik lesen tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi berkenaan turut mengesan beberapa pelanggaran syarat lesen yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“MPHTJ telah mengeluarkan satu kompaun dan melaksanakan tiga tindakan sitaan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pasar-Pasar MPHTJ 2012,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, sitaan yang dilakukan melibatkan lebih 46 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran serta alat penimbang yang digunakan dalam aktiviti perniagaan berkenaan.

Katanya, kebanyakan individu yang diperiksa dalam operasi itu merupakan warga Bangladesh.

Iklan

Bagaimanapun katanya, beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti berkenaan gagal dikenal pasti selepas bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Sapiah berkata, operasi tersebut dilaksanakan bagi membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar syarat lesen selain mengesan penglibatan warga asing dalam sektor berkenaan.

“MPHTJ memandang serius penyalahgunaan lesen perniagaan dan penglibatan warga asing dalam aktiviti yang melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“MPHTJ akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, tindakan tegas itu penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, berdaya saing dan adil kepada peniaga tempatan yang mematuhi syarat serta memiliki lesen sah.