Selangor kurangkan sewa premis PBT selama enam bulan

Iklan
Amirudin berucap semasa Sidang Khas DUN Selangor pada Jumaat

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus selama enam bulan bagi membantu lebih 21,000 peniaga menghadapi tekanan ekonomi susulan krisis bekalan global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengurangan kadar sewa itu akan berkuat kuasa mulai Julai hingga Disember depan melibatkan semua PBT di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu bertujuan membantu komuniti penjaja dan peniaga yang menjadi antara penggerak utama ekonomi harian rakyat agar dapat terus menjalankan perniagaan tanpa perlu menaikkan harga jualan.

"Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT merupakan usahawan barisan hadapan yang mewakili ekonomi harian rakyat," katanya ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan (DUN) Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Amirudin berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga di seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta disediakan oleh kerajaan negeri.

Ujar beliau, pengurangan kadar sewa itu akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga yang layak.

Iklan

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mengurangkan beban kos operasi perniagaan ketika sektor ekonomi berdepan ketidaktentuan akibat gangguan rantaian bekalan global.

Menurut beliau, selain membantu peniaga meneruskan operasi, inisiatif itu diharap dapat mengekang kenaikan harga makanan dan barangan yang memberi kesan langsung kepada pengguna.

"Program ini bukan sekadar bantuan kepada peniaga, tetapi juga sebahagian daripada usaha memastikan ekonomi tempatan terus bergerak dan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup," tambah beliau.

Pengurangan sewa premis PBT adalah antara 15 inisiatif yang diumumkan di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM209.26 juta.