SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi membantu rakyat, peniaga dan industri menghadapi kesan krisis bekalan global.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu dirangka selepas kerajaan negeri meneliti kesan krisis terhadap ekonomi negeri termasuk peningkatan kos operasi perniagaan serta kehilangan pekerjaan dalam beberapa sektor utama.
Menurutnya, data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan seramai 10,869 warga Selangor kehilangan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan sektor peruncitan dan pembuatan antara yang paling terjejas.
"Kerajaan negeri mengambil pendekatan bukan sekadar memberikan bantuan tunai, tetapi mewujudkan peluang baharu kepada rakyat melalui keusahawanan, peningkatan kemahiran dan perlindungan kepada sektor ekonomi yang terkesan," katanya pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Antara inisiatif terbesar diumumkan ialah perluasan program Selangor Advance (SA500) dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat dan kontraktor yang terlibat dengan projek kerajaan negeri, daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, katanya, kerajaan negeri memperkenalkan Dana Pantas Usahawan berjumlah RM20 juta yang menawarkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada setiap usahawan bagi tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.
Dalam usaha membantu peniaga kecil, Amirudin berkata, kadar sewa premis PBT akan dikurangkan sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun ini.
Katanya, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga tanpa memerlukan sebarang permohonan.
"Kerajaan negeri juga akan menawarkan penstrukturan semula pinjaman kepada 6,000 usahawan yang mempunyai pembiayaan di bawah Yayasan Hijrah tanpa faedah tambahan atau caj penalti,” katanya.
Bagi golongan yang kehilangan pekerjaan, beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan RM4 juta bagi Program Transisi Kerjaya PLATS yang menawarkan latihan asas keusahawanan, bantuan data internet selama 12 bulan serta elaun perjalanan kepada peserta.
Pada masa sama, katanya, Program Kerjaya Selangor dengan peruntukan RM1.5 juta akan dilaksanakan bagi memadankan kemahiran pencari kerja dengan keperluan industri.
"Dalam sektor pertanian, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta bagi Bantuan Agropreneur Selangor yang memberi manfaat kepada 2,469 petani dan nelayan melalui bantuan baucar atau wang tunai antara RM300 hingga RM600.
"Kerajaan negeri turut memperkenalkan moratorium sewa rumah Smart Sewa selama tiga bulan kepada 1,012 penyewa bermula Oktober hingga Disember 2026 serta moratorium pinjaman perumahan kepada 2,333 penjawat awam negeri bagi tempoh sama," kata beliau.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Biasiswa Pendidikan Kita Selangor dengan peruntukan RM17 juta bagi membantu pelajar cemerlang dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, kejuruteraan dan elektronik.
Selain itu, katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukkan menerusi program Teraju IKTISASS yang antara lain menawarkan pensijilan AI di bawah Google kepada 500 guru, selain latihan profesional dan kemahiran kepada ribuan peserta.
Beliau berkata, bantuan Mama Kerja turut ditambah sebanyak RM5 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM10 juta bagi membantu ibu bekerja menampung kos penjagaan anak berusia enam tahun ke bawah.
"Dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi hijau, kerajaan negeri turut menawarkan rebat cukai taksiran 100 peratus bagi pemilik rumah yang memasang kemudahan seperti panel solar, sistem tadahan air hujan dan pengecas kenderaan elektrik," ujar beliau.
Menurut Amirudin, keseluruhan peruntukan Fasa 1 dan Fasa 2 kini berjumlah RM355.06 juta sebagai usaha meningkatkan daya tahan ekonomi negeri serta melindungi kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.