Yakin puji impak pemain gantian Switzerland

Iklan
Johan Manzambi membalas kepercayaan Yakin dengan meledak dua gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. Foto: Agensi

PENGENDALI Switzerland, Murat Yakin memuji impak besar dua pemain gantian selepas Johan Manzambi dan Ruben Vargas membantu pasukan itu menewaskan Bosnia dan Herzegovina 4-1 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026, awal pagi Jumaat.

Yakin berkata, kemasukan pemain simpanan pada babak kedua memberi tenaga baharu serta mengubah rentak permainan Switzerland yang sebelum itu sukar menembusi benteng lawan.

Iklan
Iklan

“Pemain yang dimasukkan memberi tenaga baharu dan menukar rentak permainan. Mereka benar-benar memberi impak seperti yang kami harapkan,” katanya.

Perlawanan pada awalnya seimbang apabila Bosnia berjaya mengekang dominasi Switzerland yang menguasai penguasaan bola, sebelum perubahan pada babak kedua membawa kepada perbezaan ketara.

Iklan

Manzambi yang dimasukkan selepas rehat minum kedua segera memberi impak apabila membuka jaringan pada minit ke-74, hanya beberapa minit selepas berada di atas padang.

Vargas turut memainkan peranan penting apabila mencipta gerakan yang membawa kepada gol kedua Manzambi serta menambah satu jaringan sendiri dalam aksi dominan Switzerland.

Iklan

Kapten Granit Xhaka melengkapkan kemenangan dengan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Bosnia beraksi dengan 10 pemain.

Yakin menegaskan keputusan menukar pemain pada waktu tepat membantu pasukan memanfaatkan keletihan lawan.

“Kami tahu bila masa terbaik untuk melakukan perubahan dan pemain gantian melaksanakan tugas dengan sangat baik,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan Switzerland di landasan selesa dengan empat mata menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Kanada.