OKAYAMA – Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas disyaki cuba membunuh anak saudaranya yang berusia 46 tahun dalam satu kejadian di Bandar Kurashiki, Wilayah Okayama, Jepun.
Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Shiro Imoto berusia 74 tahun didakwa menikam mangsa menggunakan pisau dapur pada bahagian lengan kiri dan bahagian kanan abdomen kira-kira jam 9 malam pada Selasa.
Mangsa yang cedera berjaya melarikan diri dari rumah berkenaan sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran, yang kemudiannya menghubungi pihak polis.
Mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, polis memaklumkan bahawa kecederaan yang dialaminya tidak mengancam nyawa.
Difahamkan, Imoto tinggal serumah bersama mangsa dan ibu mangsa.
Ibu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut.
Siasatan awal mendapati suspek telah mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan ketika disoal siasat, dia mendakwa anak saudaranya sering menghamburkan kata-kata hina terhadapnya.
Menurut polis, suspek turut dipetik sebagai berkata bahawa dia 'tidak peduli jika mangsa meninggal dunia'.
Pihak polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan keadaan yang membawa kepada pertelingkahan tersebut.- agensi