Rombakan beri imej baharu buat PN

Iklan
Pas yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai kekuatan akar umbi, manakala Bersatu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin memainkan peranan dalam membawakan isu nasional. Gambar fail

SHAH ALAM - Keputusan Perikatan Nasional (PN) menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam gabungan itu dilihat sebagai langkah yang wajar dari sudut pengurusan organisasi politik.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, rombakan yang dibuat itu juga memberi gambaran bahawa PN mahu memperkukuhkan struktur dalaman dan menampilkan imej baharu yang lebih segar kepada pengundi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menyimpulkan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah berakhir susulan perkembangan terbaharu tersebut.

"Hakikatnya kedua-dua parti masih saling memerlukan antara satu sama lain. Pas mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan pengundi yang stabil.

Iklan

"Manakala Bersatu masih memainkan peranan penting dalam membawa imej nasional serta menarik sokongan daripada segmen pengundi tertentu. Apa yang berlaku lebih tepat dilihat sebagai proses penyusunan semula kuasa dalam gabungan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya sama ada kemungkinan tindakan tersebut dibuat untuk melemahkan Bersatu dalam PN, Hussain Yusri menolak tanggapan berkenaan.

Iklan

Ujar beliau, Pas menyedari bahawa kelemahan Bersatu akan memberi kesan kepada kekuatan keseluruhan PN.

"Sebab itu, langkah ini lebih berkemungkinan bertujuan mengukuhkan kawalan dalam gabungan berbanding usaha untuk menyingkirkan pengaruh Bersatu sepenuhnya.

Mengulas mengenai kedudukan Bersatu ketika ini, beliau berpandangan, parti itu sedang melalui fasa yang mencabar susulan isu kepimpinan dan perubahan dalam struktur gabungan menimbulkan persoalan mengenai pengaruhnya dalam PN.

Namun, katanya, Bersatu masih mempunyai aset politik yang penting termasuk jaringan pemimpin berpengalaman dan kehadiran di beberapa kawasan strategik.

"Masa depan parti itu banyak bergantung kepada keupayaannya melakukan pembaharuan dalaman, memperkukuhkan kepimpinan serta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik negara," katanya.