Pelajar UiTM Dungun juara Jalen Star Chef 2 anjuran Nu Ideaktiv, Remaja

Iklan
Nu Ideaktiv dan Remaja berjaya mencungkil bintang kulinari baharu melalui Jalen Star Chef 2.

SHAH ALAM – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun mengharumkan nama universiti apabila muncul juara pertandingan Jalen Star Chef 2 selepas menewaskan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara pada Khamis.

Kemenangan itu menyaksikan pelajar Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan, Nur Syafikah Nazurah Muhd Shaqawi membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil selepas berjaya menewaskan peserta lain.

Iklan
Iklan

Nur Syafiqah berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna selepas pernah gagal dalam penyertaan terdahulu sebelum kembali mencuba dengan lebih gigih.

"Saya cuba lagi dan Alhamdulillah kali ini berjaya menjadi juara," katanya kepada pemberita selepas Grand Finale Pertandingan Jalen Star Chef 2 di UiTM Puncak Alam pada Khamis.

Iklan

Nur Syafikah menunjukkan hadiah yang dimenangi selepas dinobatkan sebagai juara Jalen Star Chef 2.

Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Puncak Alam, Profesor Dr Norzuwana Sumarjan.

Iklan

Jalen Star Chef 2 merupakan pertandingan anjuran Nu Ideaktiv dan Remaja dengan sokongan rakan rasmi, Jalen dan rakan strategik, UiTM bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang kulinari.

Sebelum itu, tempat kedua dimenangi pelajar UiTM Puncak Alam, Hazeerah Zulaikha Hasan yang membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil, manakala tempat ketiga menjadi milik Nor Ainun Maisarah Abdullah dari Universiti College Bestari yang menerima wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Nur Syafikah memberitahu, hidangan yang dipersembahkan mendapat inspirasi daripada negeri asalnya yang terkenal dengan pelbagai makanan tradisional.

Beliau mengolah elemen warisan tempatan kepada sajian moden bagi menampilkan identiti negeri tersebut menerusi masakannya.

Mengulas cabaran sepanjang pertandingan, Nur Syafiqah berkata, tempoh dua jam yang diberikan untuk menyiapkan hidangan pembuka selera dan hidangan utama menjadi ujian terbesar buat peserta.

"Tekanan memang tinggi kerana masa sangat terhad. Bagaimanapun, latihan berterusan dari pagi hingga lewat malam membantu saya lebih bersedia menghadapi pertandingan ini," ujarnya.

Menurutnya, pertandingan seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat anak muda dalam bidang kulinari.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang bercita-cita menjadi cef agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, Jalen Star Chef 2 diwujudkan bagi mencungkil dan mengangkat bakat muda dalam bidang kulinari serta gastronomi.

Nur Syafikah (tengah) memegang piala dimenangi dalam pertandingan Jalen Star Chef 2.

Menurutnya, pertandingan yang memasuki musim kedua itu tampil lebih besar apabila menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai IPTA dan IPTS di seluruh negara.

"Melalui Jalen Star Chef 2, kami mahu melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu menjadi bintang industri kulinari negara pada masa depan, sama seperti kejayaan pencarian bakat yang pernah diperkenalkan menerusi jenama Remaja," katanya.

Beliau berpandangan, sambutan yang diterima membuktikan bidang kulinari dan hospitaliti terus mendapat tempat dan menarik minat generasi muda.

“Pertandingan ini bukan sekadar mencari juara, tetapi memberi pengalaman dunia sebenar kepada peserta selain membuka peluang untuk mereka membina rangkaian industri dan mengembangkan bakat masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, Nu Ideaktiv menerusi platform media dan kandungannya akan terus menyokong pembangunan bakat muda dengan memberi pendedahan serta peluang kepada peserta untuk mengembangkan potensi mereka dalam industri.

Antara institusi yang mengambil bahagian termasuk Universiti College Bestari, Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Tidak ketinggalan, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Taylor's University serta beberapa kampus UiTM termasuk Dungun, Permatang Pauh dan Puncak Alam.