JAKARTA - Bank Pusat Indonesia pada Khamis menaikkan kadar faedah untuk kali ketiga dalam tempoh empat minggu ketika negara itu berusaha memperkukuh mata wangnya yang terkesan akibat lonjakan kos tenaga berpunca daripada ketidakstabilan di Asia Barat.
Bank Indonesia menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 5.75 peratus.
Langkah itu dibuat selepas bank pusat berkenaan mengejutkan pasaran dengan kenaikan 50 mata asas pada 20 Mei yang merupakan kenaikan pertama dalam tempoh dua tahun disusuli satu lagi kenaikan 25 mata asas pada minggu lalu.
“Ia merupakan langkah susulan bagi memperkukuh kestabilan kadar pertukaran rupiah di tengah-tengah ketidaktentuan global yang masih tinggi,” kata Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo.
Menurut Bloomberg News, rupiah menjadi mata wang berprestasi paling lemah di Asia dengan nilainya susut kira-kira tujuh peratus.
Rupiah sempat merosot ke paras rekod 18,209 berbanding dolar sebelum kembali pulih selepas kenaikan kadar faedah minggu lalu dan kini berada sekitar 17,800.
Situasi ekonomi itu telah mencetuskan protes pelajar di seluruh negara yang menuntut kerajaan menghentikan perbelanjaan berlebihan termasuk program makanan percuma bernilai berbilion dolar.
Mereka turut mengkritik dasar kerajaan yang menaikkan harga bahan api tidak bersubsidi.
Langkah serupa juga diambil Bank Pusat Filipina yang menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus berikutan inflasi yang meningkat akibat lonjakan kos bahan api. - AFP