Bersatu gagal cabar tindakan SPRM beku, sita dua akaun bank

Iklan
Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membuktikan bahawa keputusan SPRM membeku dan penyitaan dua akaun bank parti tersebut tiga tahun lalu, sebagai tidak berniat jahat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membuktikan bahawa keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita dua akaun bank parti tersebut tiga tahun lalu dibuat dengan niat jahat.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Bersatu bagi mencabar tindakan SPRM terbabit.

Iklan
Iklan

Semasa membaca keputusan yang dibuat dalam prosiding secara dalam talian, beliau berkata, pemohon gagal membuktikan tindakan responden dicemari oleh ketidakperlembagaan atau ‘ultra vires’, menyalahi undang-undang, ketidakteraturan prosedur, tidak munasabah atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, perintah pembekuan terhadap akaun bank Bersatu adalah sah dan mematuhi keperluan sub-seksyen 44(1) Akta AMLA.

Iklan

Menurutnya, mahkamah berpuas hati bahawa penyiasatan berkaitan aktiviti haram telah bermula terhadap Muhyiddin selaku pemohon kedua, dalam kapasitinya sebagai Presiden Bersatu sebelum perintah pembekuan dikeluarkan.

“Perbicaraan terhadap pemohon kedua bagi pertuduhan jenayah sudah bermula namun ia tidak menghalang mahkamah daripada menjalankan semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan dan perintah penyitaan ke atas akaun bank berkenaan.

Iklan

“Tujuan perintah pembekuan dibuat bagi menghalang wang di akaun yang disiasat, dilupuskan.

Beliau berkata, sekatan perjalanan terhadap pemohon kedua juga sah bagi memastikan proses penyiasatan jenayah dapat dijalankan tanpa gangguan.

Aliza berkata, SPRM berhak meminta Jabatan Imigresen Malaysia mengenakan larangan perjalanan disebabkan siasatan jenayah dilaksanakan.

Katanya, jabatan berkenaan telah menggunakan budi bicara statutori yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen ketika mengenakan sekatan berkenaan.

Pada 2023, SPRM dilaporkan merampas akaun Bersatu yang sebelum itu dibekukan.

Agensi itu berkata, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan Bersatu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita dan membekukan dua akaun banknya.

Permohonan itu difailkan Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya atas kapasitinya sebagai pegawai awam parti dan Muhyiddin masing-masing selaku pemohon pertama dan kedua, pada Mac 2023.

Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki dan 19 individu lain sebagai responden pertama hingga ke-20.

Para pemohon memohon untuk membatalkan pembekuan akaun tersebut supaya dana dapat digunakan untuk perbelanjaan, operasi dan pengurusan Bersatu.

Para pemohon mendakwa bahawa perintah pembekuan itu adalah salah, terbatal dan tidak sah akibat daripada ketidakperlembagaan, ketidakpatuhan undang-undang, ketidakpatuhan prosedur, ketidakrasionalan, mala fide, penyalahgunaan proses dan penyalahgunaan kuasa oleh SPRM dan pegawainya.

Berkenaan larangan perjalanan Muhyiddin, para pemohon memohon pengisytiharan bahawa larangan itu tanpa asas yang munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit sokongannya, Muhyiddin berkata beliau mengetahui tentang larangan itu melalui laman web Jabatan Imigresen dan ia dikenakan ke atasnya tanpa menyerahkan sebarang notis rasmi dan tanpa sebab.