MELAKA - Nasib seorang nenek warga Singapura yang hidup sebatang kara di Pengkalan Perigi, Tanjung Kling di sini berubah selepas dipertemukan dengan seorang insan berhati mulia yang sanggup menjaga seperti ibu sendiri.
Santy Kadir, 40, berkata, dia mula mengenali Sarah Suanda, 85, atau lebih mesra dipanggil Nek Sarah, kira-kira setahun lalu ketika sedang memandu e-hailing untuk mengambil penumpang.
Menurut wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu, ketika kejadian dia ternampak warga emas berkenaan sedang mengangkat barangan berat di tepi jalan dan hatinya tergerak untuk membantu.
“Hati saya rasa tidak sedap hati untuk meneruskan perjalanan, lalu saya berpatah balik dan menawarkan bantuan untuk menghantarnya pulang ke rumah,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Santy berkata, sebaik tiba di kediaman warga emas itu, dia mendapati keadaan rumah berkenaan tidak terurus selain dikelilingi semak samun sehingga menimbulkan rasa bimbang terhadap keselamatan penghuninya.
Katanya, sejak hari itu dia bersama beberapa rakan mula membantu membersihkan kawasan rumah, memotong rumput, mengemas kediaman selain membawa Nek Sarah keluar makan dan memberi sedikit wang saku.
“Saya cuci pakaian, kemas rumah dan bawa dia makan. Kalau rumput di kawasan rumah sudah panjang, kami akan bergotong-royong membersihkannya.
“Ada rakan yang sanggup datang membawa mesin rumput semata-mata untuk membantu membersihkan kawasan rumahnya,” katanya.
Katanya, atas dasar ihsan dan kemanusiaan, dia sanggup menjaga Nek Sarah seperti ahli keluarga sendiri walaupun tiada sebarang pertalian darah antara mereka.
“Saya ada ibu. Saya selalu fikir bagaimana jika ibu saya berada dalam keadaan seperti ini. Saya bayangkan dia seperti ibu saya.
“Apa salahnya kita membantu sesama manusia. Walaupun dia bukan warganegara Malaysia, saya yang mulakan bantuan ini dan akan cuba selesaikan sehingga akhir,” katanya.
Katanya lagi, warga emas berstatus penduduk tetap itu sebelum ini berkeras mahu terus tinggal di rumah berkenaan meskipun hidup bersendirian selepas kematian suaminya lebih 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot selepas terjatuh di bilik air sehingga mengalami keretakan pada bahagian pinggul dan tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.
“Selepas jatuh, dia tidak boleh bangun sendiri dan sukar untuk bergerak termasuk ke tandas.
“Kami bawa dia mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. Selepas keluar hospital, mustahil untuk membiarkan dia tinggal bersendirian kerana dia memerlukan penjagaan berterusan,” katanya.
Susulan itu, Santy berkata, dia bersama rakannya sedang membantu menguruskan dokumentasi bagi membolehkan Nek Sarah pulang ke Singapura.
Katanya, hampir sebulan beliau berurusan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kedutaan Singapura bagi menyelesaikan masalah dokumentasi warga emas berkenaan yang kehilangan beberapa dokumen penting termasuk pasport.
“Saya harap urusan ini dipermudahkan dan dapat disegerakan supaya nenek dapat kembali ke negaranya.
“Alhamdulillah, Kedutaan Singapura sangat membantu dan sentiasa berhubung dengan saya bagi mempercepatkan proses berkenaan,” katanya.
Ujarnya, kos berkaitan urusan dokumentasi banyak ditanggung menggunakan wang sendiri selain hasil sumbangan orang ramai yang prihatin.
Beliau berkata, warga emas itu dijangka ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Singapura kerana tiada waris yang mampu menjaganya.