'Enggan duduk semeja dengan DAP itu kiasan' - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz - Foto: Pejabat MB Johor

JOHOR BAHRU – Kenyataan “enggan duduk semeja dengan DAP” yang mencetuskan kontroversi sebelum ini sebenarnya merupakan kata-kata kiasan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan maksud kenyataan itu adalah merujuk kepada pendirian BN Johor untuk tidak membentuk kerajaan negeri bersama DAP.

Iklan
Iklan

Namun, pada masa sama, beliau tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan rakyat.

“Apa yang dimaksudkan dengan tidak duduk semeja tidak bermakna secara literal, sebaliknya hanya satu kiasan. Apa yang saya maksudkan ialah tidak mahu membentuk kerajaan bersama DAP. Itu yang saya maksudkan.

Iklan

“Daripada segi ideologi, kita mempunyai cara kita di Johor dan mungkin tidak selari kerana perjuangan parti tidak sama. Jadi, saya rasa ini antara sebab utamanya.

“Cara dan juga ideologi politiknya sangat berbeza,” katanya ketika ditemui di kediaman rasminya di Saujana di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau percaya rakyat di negeri ini sememangnya mahukan keadaan sedemikian, iaitu tiada DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, tiada sebab untuk mengubah kerajaan negeri kepada Kerajaan Perpaduan kerana BN telah terbukti berkesan mentadbir Johor sejak empat tahun lalu.

Katanya, situasi itu berbeza dengan kerajaan di peringkat Persekutuan kerana pihaknya akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Tegas beliau, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negeri.

“Buktinya, saya memenuhi jemputan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, walaupun menerima jemputan pada saat akhir,” katanya.

Onn Hafiz menjelaskan beliau kekal tenang walaupun menerima kritikan susulan beberapa kenyataan yang dibuatnya, lebih-lebih lagi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

“Alhamdulillah, saya masih kekal tenang menghadapi semuanya, masih boleh bekerja dan masih dapat tidur dengan nyenyak.

“Diserang pihak lawan dan dikritik orang ramai adalah adat dalam dunia politik. Apa yang lebih penting ialah bagaimana saya memberikan reaksi balas. Saya boleh sahaja memilih untuk terus berkasar, tetapi itu bukan cara Bangsa Johor,” ujarnya lagi.