KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tujuh pertuduhan rasuah membabitkan projek menaik taraf Pusat Skuasy Nasional, beberapa bulan lalu.
Iliyas, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Faham, saya mengaku tidak bersalah," katanya yang berdiri di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Iliyas yang memakai kot berwarna biru gelap, didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM1,005,000 dan enam kes menerima RM450,000 daripada seorang pengarah syarikat kontraktor, Yap Yeow Kuen, 60.
Suapan itu didakwa sebagai upah tertuduh selaku pegawai badan awam, iaitu CEO di PSM supaya bersetuju untuk memilih Syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd memenangi tender 'Projek Menaiktaraf Gelanggang dan Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil' bernilai RM8,733,197.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat PSM di Stadium Nasional KLSC dan sebuah restoran di pusat beli-belah di Sri Petaling, Bukit Jalil antara 24 Februari dan 13 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat berkata, pertuduhan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jumlah yang tinggi dengan mengambil kira status tertuduh dan keseriusan kesalahan tersebut.
“Kami mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin.
Sementara itu, peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang mewakili Iliyas berkata, pembelaan tidak membantah syarat tambahan tersebut, namun merayu anak guamnya diberi ikat jamin antara RM50,000 hingga RM80,000 kerana beliau masih muda dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.
“Ketika ini, Iliyas digantung kerja malah ketika disiasat, anak guam memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
“Tiada rekod beliau mengganggu saksi selain saya percaya anak guam akan hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan," katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Suzana membenarkan Iliyas diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Julai untuk sebutan kes.