Anwar hargai pendirian konsisten Putin berhubung Gaza, Iran

Iklan
Anwar semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Bilik Mesyuarat Dua Hala, Teater Akademik Negeri Tatar pada Khamis. Foto Bernama

KAZAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas pendirian konsisten negara itu berhubung isu Gaza dan situasi geopolitik semasa yang melibatkan Iran.

Anwar berkata, Rusia telah mengekalkan pendirian berprinsip terhadap kedua-dua isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda atas pendirian berhubung Gaza dan Iran. Anda telah mengambil pendirian yang sangat konsisten dan berprinsip,” kata beliau semasa berucap pada mesyuarat dua hala dengan Putin di sini pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia dan kebanyakan pihak lain mengagumi keteguhan serta keyakinan Putin dalam mempertahankan pendirian itu. 

Iklan

"Dan bagi pihak rakyat Malaysia dan ramai yang lain, maka perlu saya katakan betapa kami mengagumi keteguhan dan keyakinan anda,” kata beliau. 

Dari sudut geopolitik, Gaza dan Iran menjadi isu utama dalam persaingan pengaruh yang lebih meluas di Timur Tengah, yang turut melibatkan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China.

Iklan

Rusia secara konsisten mengambil pendirian menyokong gencatan senjata di Gaza, akses kemanusiaan untuk rakyat Palestin serta penyelesaian diplomatik terhadap konflik serantau.

Moscow juga mengekalkan hubungan rapat dengan Teheran sambil menggesa dialog dan penyelesaian melalui rundingan berbanding konfrontasi ketenteraan. - Bernama