KUALA LUMPUR – Kegagalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menguruskan konflik dalaman dengan Pas akan meletakkan parti itu di ambang kehancuran.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Muhyiddin yang berkeras dalam kemelut Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat merugikan parti dan gabungan itu.
“Beliau masih lagi berkeras, bertegang urat dengan Pas dan dengan kami semua seolah-olah beliau masih lagi Pengerusi PN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di Pejabat Agung Pas pada Rabu.
Wan Ahmad Fayhsal turut meluahkan rasa kecewa terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang disifatkan tidak mempunyai pertimbangan rasional dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Apa yang beliau cuba hujahkan semalam dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu itu langsung tidak berasas.
“Biarlah pimpinan dalam Majlis Tertinggi PN membincangkannya. Saya rasa kecewa dengan Muhyiddin kerana beliau tidak mempunyai pertimbangan yang rasional dalam menguruskan konflik ini.
“Sebenarnya Bersatu berada di ambang kehancuran. Itu pemerhatian saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin menegaskan partinya bersedia menghadapi apa jua kemungkinan susulan keputusan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Muhyiddin turut menegaskan partinya akan kekal sebagai komponen dalam PN serta menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.