SHAH ALAM - Pendekatan seni dan penceritaan visual merupakan medium berkesan menyampaikan mesej integriti serta antirasuah kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Samsul Salip berkata, pendekatan itu mampu menarik minat generasi muda untuk memahami isu rasuah, integriti dan penyalahgunaan kuasa menerusi kaedah yang lebih kreatif serta dekat dengan kehidupan mereka.
"Inisiatif tersebut selaras dengan usaha berterusan SPRM untuk memperluas pendidikan antirasuah melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berimpak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili SPRM dalam Festival Filem Anak Muda (FFAM) Ke-5 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada Ahad.
Festival bertemakan 'Korupsi' itu menjadi platform kepada mahasiswa menzahirkan idea dan pandangan mengenai isu rasuah, integriti serta penyalahgunaan kuasa melalui penghasilan filem pendek yang kreatif dan kritis.
Sebanyak 18 filem pendek daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dipertandingkan dalam edisi kali ini.
Samsul turut mewakili SPRM dalam sesi bual bicara berkaitan kesalahan rasuah yang diadakan sempena festival berkenaan.
Dalam pertandingan itu, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) muncul juara menerusi filem pendek Yam Behormat, diikuti Kolej Profesional MARA Indera Mahkota menerusi karya Nafsi di tempat kedua, manakala Universiti Teknologi MARA meraih tempat ketiga melalui filem pendek Entry.
Penganjuran FFAM Ke-5 mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh agenda pendidikan antirasuah dan pembudayaan integriti menerusi penglibatan aktif generasi muda dalam medium kreatif.