SHAH ALAM - Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan bagi mengelakkan konflik kepentingan yang wujud dalam struktur sedia ada, kata bekas Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn.
Beliau berkata, ketika ini Peguam Negara memegang dua peranan yang berbeza apabila bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan semasa dan pada masa sama mempunyai kuasa penuh untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding jenayah.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama moderator, Ismail Adnan ketika program Wacana Rakyat Edisi Ke-487 bertajuk"Pisah Kuasa Peguam Negara & Pendakwa Raya: Apa Rakyat Mahu?" anjuran bersama Rasuah Busters dan Sinar Harian di Studio F, Sinar Harian pada Selasa malam.
Selain Karen, sesi wacana itu turut menampilkan Pensyarah Sains Politik Universiti Sunway, Prof Dr Wong Chin Huat serta Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar.
Menurut beliau, konflik kepentingan boleh timbul apabila Peguam Negara perlu membuat keputusan bebas untuk mendakwa individu tertentu atau mengendalikan kes berprofil tinggi tanpa dipengaruhi kuasa eksekutif.
Karen berkata, Bar Malaysia telah lama melakukan advokasi berhubung kepentingan memisahkan kedua-dua fungsi berkenaan.
Mengulas Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, beliau berpendapat Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara dalam pelantikan Peguam Negara kerana kuasa itu tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.
Katanya, perkara itu selaras dengan Artikel 40(1) yang menetapkan Seri Paduka Baginda perlu menerima nasihat pihak eksekutif dalam urusan berkenaan.