BATU PAHAT – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd Puad berkata, keputusan itu telah dibuat sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kira-kira dua minggu lalu.
Menurut beliau, faktor usia menjadi pertimbangan utama apabila kini berusia 69 tahun dan berpendapat pemimpin lebih muda perlu diberi peluang untuk menerajui kepimpinan negeri.
“Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai pada usia tersebut untuk terus bertanding di kerusi DUN.
Bagaimanapun beliau berkata, cadangan mengenai calon pelapis bagi kerusi Rengit telah dikemukakan kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan.
Katanya, calon yang bakal dipilih perlu mempunyai kelayakan, berakhlak, komited terhadap perjuangan serta memahami hala tuju bangsa dan aspirasi rakyat.
Mohd Puad turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan UMNO Johor akan membuat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan calon terbaik untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata masih terdapat beberapa urusan dan tugasan yang perlu diselesaikan sebelum hari penamaan calon.
“Selama lebih empat tahun saya menjadi wakil rakyat yang tinggal di kawasan. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Rengit, penjawat awam, ketua-ketua kampung dan masyarakat Cina atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
Mohd Puad turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya sebagai Speaker DUN Johor serta kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas nasihat dan bimbingan dalam memastikan perjalanan sidang DUN Johor berlangsung dengan tertib dan lancar.