GERIK - Wanita Barisan Nasional (BN) Perak sudah mempersiapkan jentera untuk ditugaskan membantu memenangkan calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Wanita BN negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, di Johor lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam dua kawasan Parlimen akan digempur jentera Wanita BN Perak.
Menurutnya, gerak kerja akan dimulakan di Johor terlebih dahulu sebelum bergerak ke Negeri Sembilan.
"Jadi kita akan mengikut perhubungan negeri, perhubungan negeri menetapkan dan Perak sendiri untuk negeri Johor kita ditugaskan untuk menjaga dua parlimen dan lima DUN.
"Jentera Wanita Negeri Perak juga akan turut bersama terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bongor di sini pada Rabu.
Salbiah berkata, sekurang-kurangnya 30 orang akan turun membantu jentera pilihan raya BN bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Jelasnya, gerak kerja pilihanraya dijangka lancar memandangkan lokasi yang diberi tanggungjawab sama dengan kawasan sebelum ini.
"Biasanya jentera wanita ini akan lebih kepada membaca sentimen dan kita juga tambah baik dari segi digital iaitu JR (Jalinan Rakyat) Digital. Ini juga yang diumumkan oleh Wanita BN Malaysia menggunakan JR Digital.
"Kita nak melihat persepsi termasuk dari segi untuk membuat bancian sendiri pun kita dah mula menggunakan digital melalui MyJR," katanya.
Pada 12 Jun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.