KLUANG – Jenazah Allahyarhamah Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah pada Isnin, selamat dikebumikan dengan istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak pada jam 1.15 tengah hari Rabu.
Ibu Allahyarhamah, Zaliha Said, 56, dilihat beberapa kali hampir rebah sebaik tiba di kawasan perkuburan sebelum ditenangkan ahli keluarga untuk memberi penghormatan terakhir kepada anak bongsunya itu.
Anak sulung keluarga, Siti Zaiha Sungip, 39, berulang kali memujuk ibunya untuk terus kuat dalam suasana hiba.
Sebelum itu, van membawa jenazah yang bertolak dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 3 pagi singgah di rumah ibu bapanya sebagai persinggahan terakhir sebelum dibawa Masjid Nurul Iman di sini untuk solat jenazah.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad
Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan
Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian
Solat jenazah diimamkan Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak, Institut Kejuruteraan Medan (IKM) Tentera Darat (TDM).
Kira-kira 200 orang terdiri ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan anggota tentera memenuhi rumah keluarga mangsa sekitar jam 12.10 tengah hari.
Dalam kejadian jam 10.57 pagi, Selasa Allahyarham Prebet Siti Khadijah dan Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, maut akibat terkena bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Sungai Petani.
Kedua-dua anggota terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Kedah.