SHAH ALAM - Majoriti pembaca Sinar Harian bersetuju bahawa penetapan had usia anak dijaga oleh ibu di dalam penjara dinaikkan kepada lima tahun.
Berdasarkan tinjauan 'poll' di semua platform digital Sinar Harian yang dibuka sejak Isnin, masing-masing beranggapan cadangan sedemikian sebagai munasabah atas beberapa faktor.
Menerusi dapatan di platform Youtube, seramai 900 responden bersamaan 81 peratus setuju dengan syor tersebut kerana kanak-kanak dalam lingkungan usia sebegitu masih mendambakan kasih sayang seorang ibu.
Bagaimanapun, 19 peratus pengguna akaun Youtube yang tidak bersetuju dan berpendapat bahawa had usia sehingga lima tahun terlalu lama untuk kanak-kanak kerana dibimbangi sukar untuk memisahkan kedua-duanya apabila tiba masanya.
Tambahan pula, kanak-kanak ketika fasa tersebut lazimnya mengalami perkembangan otak yang cukup pantas sehinggakan ada antaranya sudah tahu membezakan berpisah secara baik atau terpaksa.
Tidak kurang juga berpandangan bahawa lima tahun terlalu lama kerana kanak-kanak sudah kenal suasana penjara berbanding usia tiga tahun yang mana kelompok itu jarang mengingati momen membesar di sebalik tirai besi.
Di platform Facebook mencatatkan 33 undian bersamaan 89 peratus memihak kepada pilihan setuju supaya menaikkan tempoh itu kepada lima tahun, bukannya tiga tahun sepertimana selalu.
Begitu juga di Threads apabila 73 peratus bersamaan 26 pengguna media sosial itu cenderung bersetuju dengan syor had usia sehingga lima tahun.
Menerusi platform X, hanya tiga responden menyatakan maklum balas dalam 'poll' iaitu dua bersetuju dengan had usia sehingga lima tahun manakala satu lagi sebaliknya.
Pengguna TikTok juga rata-ratanya memilih pilihan A iaitu setuju dengan cadangan sedemikian.
Di ruangan komen Instagram, seramai 52 responden memberikan pandangan berbeza.
Ada antaranya memilih setuju atas alasan empati di mana tempoh lima tahun cukup untuk kanak-kanak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu semasa proses membesar.
Tiga tahun pula sangat singkat, malah netizen turut meminta supaya pihak berkuasa tidak memisahkan anak yang masih kecil dengan sang ibu.
Segelintirnya memilih tiga tahun sahaja kerana tiada keperluan menaikkan had usia kepada lima tahun, tambahan pula persekitaran penjara tidak bagus untuk proses perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
Menurut pengguna Instagram juga, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas sudah boleh berfikir sendiri dan dibimbangi trauma untuk hidup di luar sana selepas berpisah dengan emak.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara Malaysia, Norhimah Aziz mencadangkan had umur anak tinggal bersama ibu di dalam penjara dilanjutkan sehingga lima tahun.
Beliau berkata, tempoh tiga tahun terlalu singkat kerana kebanyakan kanak-kanak pada usia tersebut masih berada dalam fasa perkembangan awal dan sangat bergantung kepada hubungan emosi bersama ibu.
Jelasnya, ia wajar dikaji semula dengan pendekatan lebih fleksibel mengikut kes atau menaikkan had umur yang lebih sesuai berdasarkan penilaian pakar.
Ujar Norhimah, umur yang lebih sesuai mungkin sehingga lima tahun kerana pada peringkat ini kanak-kanak lebih mudah menyesuaikan diri, semakin berdikari dan mampu berinteraksi serta berkawan.