JKNP siasat dakwaan pencemaran sungai di kawasan rekreasi Bentong

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai dakwaan pengunjung alami cirit-birit, deman selepas mandi di Sungai Janda Baik, Bentong.

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah menjalankan siasatan berhubung

gejala cirit-birit, muntah dan demam yang didakwa dialami  beberapa pengunjung selepas  mandi sungai di kawasan rekreasi di  Bentong baru-baru ini.

Iklan
Iklan

JKNP dalam kenyataannya menjelaskan, berdasarkan  penilaian risiko dilakukan dan hasil siasatan awal mendapati  tiada notifikasi kejadian keracunan makanan atau peningkatan luar biasa kes Gastroenteritis Akut (AGE) yang diterima melalui sistem survelan sedia ada setakat  ini.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan lapangan dan penilaian risiko dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong mendapati tiada kes AGE  yang dapat disahkan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Iklan

Jelasnya, persampelan air mentah untuk analisis mikrobiologi turut  dijalankan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Benus, Janda Baik pada 14 Jun lalu dan masih menunggu keputusan analisis makmal tersebut.

"Tindakan kawalan dan pencegahan dilaksanakan termasuk pengesanan kes secara aktif, siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber pendedahan dan faktor risiko yang berkaitan serta penilaian risiko persekitaran di kawasan rekreasi terlibat," ujarnya.

Iklan

Sementara itu , JKNP menjelaskan survelan AGE di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di kawasan sekitar turut dipertingkatkan bagi mengesan sebarang kluster atau peningkatan kes yang mempunyai kaitan epidemiologi.

Menurutnya,  agensi itu  bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menjalankan penilaian kualiti air dan mengenal pasti kemungkinan sumber pencemaran bagi menyokong pelaksanaan langkah kawalan yang bersesuaian.

Sehubungan itu, JKN Pahang menasihatkan orang awam yang mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah, sakit perut atau demam selepas menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan sungai berkenaan supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Pengusaha premis rekreasi dan penginapan perlu memastikan kemudahan sanitasi, bekalan air bersih, dan sistem kumbahan mematuhi keperluan kesihatan awam serta diselenggara secara berkala bagi mengurangkan risiko pencemaran persekitaran dan penyakit bawaan air.

"KKM akan terus memantau situasi ini dengan teliti dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa berdasarkan hasil siasatan epidemiologi, penilaian risiko serta keputusan analisis makmal. 

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan awam dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KKM," ujarnya.

Beberapa pengunjung kawasan rekreasi sungai di Bentong itu sebelum ini mendakwa mengalami gejala cirit-birit, muntah, dan demam selepas menjalankan aktiviti mandi-manda di kawasan berkenaan.

Kejadian itu tular selepas hantaran berkaitan kejadian itu dikongsi pengunjung terlibat di platform media sosial.