IPOH - Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan antara 13 individu yang direman bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor.
Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan melantik syarikat kontraktor yang dikawal ejen kartel bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga di agensi berkenaan.
Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an ditahan kira-kira jam 8 hingga 11 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Menurutnya, tiga daripada suspek melibatkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun.
"Seramai 10 lagi suspek direman selama lima hari bermula 16 hingga 20 Jun selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh.
"Daripada 13 suspek yang direman, lapan merupakan penjawat awam manakala lima lagi terdiri daripada orang awam dan pemilik syarikat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut SPRM, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.
Katanya, kontraktor yang ditahan turut mengesahkan mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang berkenaan disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan terbabit.
Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM telah menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Menerusi operasi itu, sebanyak 25 lokasi yang terdiri daripada kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah.
Sitaan turut dijalankan melibatkan beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.5 juta, satu unit jam tangan mewah, dua unit kenderaan, satu unit motosikal berkuasa tinggi dan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.