Majlis Tertinggi PN ada kata putus

Iklan
PN mempunyai dua entiti pembuat keputusan yang penting iaitu Majlis Presiden dan juga Majlis Tertinggi. Gambar kecil: Muhammad Fathi

SETELAH Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, muncul satu persoalan besar, iaitu siapa yang perlu berundur dari Perikatan Nasional. Persoalan ini menjadi menarik memandangkan masing-masing ingin kekal menggunakan jenama Perikatan Nasional atau PN, sebagai landasan kerjasama.

Sejak ditubuhkan melalui kerjasama dalam penubuhan kerajaan pada tahun 2020, PN dianggap sebagai satu payung alternatif kepada BN khususnya bagi pengundi Melayu. Rekod pentadbiran kerajaan Persekutuan, negeri-negeri serta keupayaan menjadi gabungan parti Melayu terkuat dalam PRU15 menjadikan PN satu platform politik yang sukar dilepaskan.

Iklan
Iklan

Bersatu melihat dirinya sebagai pihak yang berhak untuk menguasai PN atas dasar kedudukannya sebagai peneraju utama PN sejak penubuhannya sehingga berlaku perubahan tampuk kepimpinan PN baru-baru ini.

Bahkan Tan Sri Muhyidin Yasin sentiasa dipandang sebagai tokoh yang menjadi simbol kepimpinan PN melalui kedudukannya sebagai Perdana Menteri sewaktu pentadbiran PN dan juga tokoh yang diangkat sebagai calon Perdana Menteri dalam persaingan PRU ke-15.

Iklan

Manakala Pas pula tidak akan mudah mengalah memandangkan kedudukan Pas sebagai parti yang terbesar dari jumlah ahli Parlimen dan ADUN, mentadbir kerajaan PN di tiga negeri, paling stabil dan menjadi penggerak signifikan kepada jentera pilihan raya Perikatan Nasional. Bahkan PN sekarang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, seorang tokoh pemimpin Pas.

Kedua-dua pihak mempunyai asas untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. Namun persoalan disini ialah, bagaimana kemelut ini wajar dirungkaikan.

Iklan

Dalam konteks PN sebagai sebuah parti politik, penyelesaian sepatutnya ditentukan melalui jumlah sokongan semasa yang dimiliki oleh kedua-dua parti berkenaan. PN mempunyai dua entiti pembuat keputusan yang penting iaitu Majlis Presiden dan juga Majlis Tertinggi.

Majlis Presiden dianggotai oleh semua Presiden parti anggota. Selain Pas dan Bersatu, kini PN turut dianggotai oleh parti Gerakan pimpinan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang dipimpin P Punithan. Pada saat artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi berkaitan sokongan kedua-dua pemimpin parti berkenaan.

Namun kehadiran Dominic dan sokongan Punithan kepada Konvensyen RESET di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini menggambarkan kecenderungan kedua-dua parti itu untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas, berbanding Bersatu.

Selain Majlis Presiden, keputusan dalam PN juga ditentukan oleh kuasa yang dimiliki oleh Majlis Tertinggi. Buat masa ini Majlis Tertinggi PN dianggotai oleh lapan wakil Pas, serta enam wakil Bersatu, manakala Gerakan dan MIPP masing-masing mempunyai empat wakil.

Pas mempunyai undi majoriti iaitu 12 undi jika salah satu parti sama ada Gerakan atau MIPP menyebelahi Pas. Manakala Bersatu memerlukan sokongan daripada kedua-dua parti tersebut jika ingin menguasai Majlis Tertinggi PN.

Walau apa pun sifir sokongan dalam Majlis Presiden atau Majlis Tertinggi, perhitungan terpenting ialah masa depan PN itu sendiri. PN tidak boleh kekal dalam keadaan parti yang menganggotainya tidak sehaluan. Salah satu parti, sama ada Pas atau Bersatu perlu mempunyai jiwa besar meninggalkan gabungan itu jika mereka tidak lagi mendapat sokongan majoriti parti-parti anggota.

Ada pemimpin Bersatu yang menulis bahawa Bersatu tidak boleh dipecat dari PN kerana parti anggota Perikatan Nasional hanya boleh dipecat melalui tindakan disiplin, dan tindakan disiplin itu hanya boleh dibuat melalui keputusan sebulat suara Majlis Presiden.

Bahkan disebut juga bahawa hanya Majlis Presiden yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

Kenyataan dibuat seolah-olah menggambarkan bahawa Bersatu bersedia menjadi budak degil yang enggan mengalah walaupun sudah tidak lagi disokong oleh parti-parti lain dalam Perikatan Nasional. Asas yang digunakan ialah peruntukan perlembagaan PN yang tidak mempunyai peruntukan yang jelas berkaitan penamatan keanggotaan sesebuah parti dalam gabungan berkenaan.

Persoalannya, jika sudah tidak sehaluan, apa perlunya Bersatu kekal dalam PN? Adakah terus kekal untuk menyulitkan PN dalam menghadapi pilihan raya. Ketetapan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, menggambarkan keengganan Pas meneruskan kerjasama dengan Bersatu dalam konteks pilihan raya.

Oleh itu, tidak dapat digambarkan bagaimana Presiden Bersatu boleh terus kekal dalam Majlis Presiden PN dan turut membuat keputusan muktamad dalam menentukan calon pilihan raya.

Penyelesaian yang muktamad perlu dibuat. Adalah wajar keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN sama ada secara konsensus atau melalui undian. Langkah ini penting bagi memastikan PN dapat terus melangkah ke hadapan terutama untuk berdepan dengan pilihan raya umum negeri Johor dan Negeri Sembilan yang sangat hampir.

Tujuan parti gabungan adalah untuk mengumpulkan kekuatan bagi mengukuhkan sokongan. Parti gabungan bukan pentas untuk berkonflik dan berantakan. Jika jelas tidak sehaluan, maka wajar mana-mana pihak berundur dan memberi laluan kepada pihak lain.

Mana-mana parti yang ditolak oleh rakan-rakan lain, perlu berjiwa besar dan bersedia untuk meneroka ruang baharu di luar PN. Perbezaan antara Pas dan Bersatu bukanlah perbezaan dasar, dan bukan juga permusuhan yang tajam. Tidak mustahil, kedua-dua parti ini kembali bekerjasama, bila wujud keperluan mendesak atas keperluan bersama.

Rakyat dan pengundi mengikuti perkembangan parti-parti politik dan memerhati sikap dan telatah pemimpin-pemimpin politik. Pertelingkahan dan konflik yang berpanjangan akan melunturkan sokongan politik. Rakyat mengharapkan kestabilan dan kewibawaan. Oleh yang demikian, setiap pemimpin politik wajar mencari penyelesaian terbaik, matang dan berjiwa terbuka.

* Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof ialah Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Pusat Polisi Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.