LAHAD DATU - Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas merogol seorang remaja perempuan secara bergilir-gilir dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini.
Empat suspek berusia 20-an itu melakukan perkara terkutuk tersebut terhadap mangsa berusia 14 tahun sekitar jam 2 pagi pada 9 Mei lalu sebelum laporan polis dibuat apabila kejadian itu diketahui ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, menurut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur seorang diri di bilik rumahnya.
"Suspek telah masuk ke bilik dan memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir.
"Mangsa hanya membuat laporan polis setelah kejadian diketahui oleh keluarganya," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.
Dzulbarin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa atau keluarga agar mengawasi pergaulan serta rakan anak masiing-masing bagi mengelak terlibat dalam pergaulan bebas serta gejala sosial yang tidak sihat.