Pelantikan Nallini beri perspektif baharu kepada MMM

Iklan
MMM bukan sekadar organisasi yang menguruskan pengamal media, sebaliknya berfungsi sebagai platform mengimbangi kepentingan media, masyarakat dan kerajaan. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Persoalan sama ada Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) perlu dilantik dalam kalangan pengamal media isu wajar dibincangkan susulan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan ke jawatan itu.

Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohamad Hafifi Jamri berkata, pandangan dibangkitkan sebahagian pihak mengenai keperluan jawatan itu disandang individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan adalah sesuatu yang wajar dan perlu diberikan perhatian.

Iklan
Iklan

Katanya, sememangnya individu yang mempunyai latar belakang media memiliki pemahaman lebih mendalam mengenai cabaran operasi, etika kewartawanan serta dinamika industri yang sentiasa berubah.

“Pada masa sama, MMM juga berperanan sebagai institusi melibatkan tadbir urus, akauntabiliti, penyelesaian pertikaian dan kepentingan awam.

Iklan

“Dalam konteks ini, pengalaman dan kepakaran dalam bidang perundangan serta pentadbiran institusi turut boleh menyumbang kepada pengukuhan fungsi majlis tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Nallini dilantik Pengerusi MMM dan pelantikan berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga MMM dalam mesyuarat lembaga yang diadakan pada 26 Mei 2026.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad Hafifi berkata, pelantikan itu boleh dilihat sebagai satu langkah yang menarik kerana Nallini membawa pengalaman luas dalam bidang perundangan, integriti institusi dan tadbir urus.

Katanya, MMM bukan sekadar organisasi yang menguruskan pengamal media, sebaliknya berfungsi sebagai platform mengimbangi kepentingan media, masyarakat dan kerajaan.

“Oleh itu, kepimpinan seseorang yang mempunyai pemahaman mendalam tentang perundangan, hak asasi, akauntabiliti dan penyelesaian pertikaian boleh memberikan nilai tambah kepada institusi tersebut,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Harmi Taazim Mohamad juga berpandangan pelantikan Nallini sebagai Pengerusi MMM wajar dilihat daripada perspektif yang lebih luas.

“Walaupun beliau bukan berasal daripada industri media secara langsung, pengalaman luas beliau dalam bidang perundangan, keadilan, tadbir urus dan integriti institusi boleh menjadi aset penting kepada MMM.

“MMM bukan sekadar wakili kepentingan pengamal media tetapi juga berfungsi sebagai badan mengimbangi kebebasan media dengan tanggungjawab, etika dan akauntabiliti.

“Kepimpinan bebas pengaruh organisasi media tertentu boleh membantu memastikan keputusan dibuat lebih objektif dan berkecuali,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sangat penting untuk memastikan suara pengamal media, editor dan pemain industri media keseluruhannya terus menjadi komponen utama dalam membuat keputusan.

Kata beliau, pengalaman praktikal dalam dunia media tetap diperlukan bagi memastikan setiap dasar dan garis panduan diperkenal benar-benar memahami realiti operasi media semasa.

Sementara itu, Setiausaha MMM, Radzi Razak dalam satu hantaran di Facebook berkata, pemilihan individu yang bukan daripada industri media turut dibincangkan oleh Ahli Lembaga MMM sebelum keputusan dibuat.

Katanya, keputusan juga bukan dibuat dengan mudah atau sekadar berdasarkan nama serta kedudukan seseorang.

"Apa yang lebih penting sekarang bukan siapa yang memegang jawatan, tetapi sama ada kita berjaya membina sebuah Majlis yang bebas, berwibawa dan mampu mempertahankan standard, etika dan kebebasan media untuk generasi yang akan datang.

"Institusi yang baik tidak dibina untuk memuaskan hati penyokong mana-mana pihak. Ia dibina supaya dapat terus berkhidmat walaupun apabila orang-orang yang membinanya sudah tiada lagi," katanya.