Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera

Iklan
Koperal Norazmi dan Prebet Siti Khadijah maut ketika latihan di Kem Hobart, Gurun pada Selasa.

ALOR SETAR – Polis telah merakam percakapan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan semasa Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart di Gurun yang mengorbankan dua anggota tentera pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, siasatan masih diteruskan dan pihaknya akan merakam keterangan beberapa individu lain yang berkaitan dengan kejadian tersebut pada Rabu.

Iklan
Iklan

“Setakat ini kita telah merakam percakapan tujuh individu dan siasatan akan diteruskan. Keterangan individu lain yang berkaitan akan disambung esok.

Baderulhisham (tengah) pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Selasa malam.

Iklan

“Mereka yang dipanggil memberi keterangan termasuk jurulatih, rakan selatihan dan individu yang berada di tempat kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Selasa malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad

Iklan

Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan

Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban

Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian

Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor

Jelas beliau, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, kerjasama antara polis dan pihak tentera dalam mengendalikan siasatan berhubung tragedi berkenaan berjalan dengan baik.

“Siasatan diteruskan mengikut prosedur, malah saya percaya pihak tentera juga akan menjalankan siasatan dalaman mereka.

"Keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan bedah siasat kedua-dua mangsa yang sedang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," ujarnya.

Baderulhisham berkata, perkara pertama yang perlu diselesaikan ialah urusan melibatkan kedua-dua jenazah dan pihaknya berharap proses bedah siasat dapat diselesaikan pada malam Selasa.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman berkaitan kejadian di media sosial bagi menghormati perasaan keluarga mangsa dan mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

“Kita perlu menghormati keluarga mangsa dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Sekiranya gambar atau maklumat berkaitan kejadian ditularkan, ia mungkin sedikit sebanyak boleh mengganggu siasatan. Saya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua anggota tentera maut akibat letupan semasa menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun kira-kira tengah hari Selasa.

Mangsa, Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Sungai Petani, Kedah dan Johor.