Penggangur diberkas, dadah RM1.72 juta dirampas

Iklan
Suspek yang ditahan bersama pelbagai dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang penganggur yang mengedar pelbagai jenis dadah sejak enam bulan lalu terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Segambut pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.50 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Iklan
Iklan

"Serbuan pertama dijalankan di sebuah unit kediaman itu, suspek ditahan di ruang tamu sebelum membawa pasukan serbuan ke sebuah bilik di dalam rumah berkenaan dan menyerahkan satu paket plastik lutsinar

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 33.85 gram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Basri berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi unit kediaman di kondominium sama.

"Pemeriksaan di lokasi kedua menemukan pelbagai jenis dadah yang disimpan di beberapa bilik, termasuk cecair disyaki MDMA, serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Yaba dan pil erimin 5," katanya.

Iklan

Beliau berkata, antara rampasan yang dibuat ialah 121 botol berisi cecair disyaki MDMA, 165 bungkusan serbuk disyaki MDMA, sejumlah ketamin seberat 988 gram, 228 biji pil ekstasi, 65 biji pil Yaba serta 26 keping foil aluminium mengandungi pil erimin 5.

"Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa botol, bekas dan katrij berisi cecair disyaki MDMA serta lima paket plastik lutsinar mengandungi ketamin," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan serbuk MDMA seberat 11,674.4 gram, pil erimin 5 seberat 69.2 gram, pil ekstasi seberat 186.63 gram, ketamin seberat 1,158.9 gram dan pil yaba seberat 7.27 gram.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.72 juta dan dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 349,872 penagih.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine," katanya.

"Semakan rekod jenayah pula mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau," katanya.

Basri berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang terlibat serta sumber bekalan dadah," katanya.