KOTA BHARU – Kelantan mula menjadi tumpuan pelancong Indonesia apabila seramai 118 pengunjung dari Jakarta tiba di negeri ini menerusi penerbangan sulung laluan terus Jakarta-Kota Bharu pada Selasa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif kepada industri pelancongan Kelantan selepas pelancaran laluan baharu berkenaan oleh AirAsia.
Menurut beliau, sambutan yang diterima jauh lebih baik berbanding jangkaan awal apabila jumlah penumpang dari Jakarta meningkat mendadak hasil usaha promosi yang dijalankan di Indonesia.
"Ini satu permulaan yang sangat baik dan saya yakin jumlah pelancong ke Kelantan akan terus meningkat pada masa hadapan," katanya semasa sidang akhbar pada Program Sambutan Pelancong Sempena Penerbangan Sulung AirAsia dari Jakarta ke Kota Bharu di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada Selasa.
Ujar beliau, sebelum ini kerajaan negeri bimbang laluan berkenaan kurang mendapat sambutan, namun usaha memperkenalkan produk pelancongan Kelantan di Jakarta berjaya menarik minat rakyat negara jiran itu.
"Pada peringkat awal kita lihat sambutannya agak perlahan, tetapi selepas kita mengadakan sesi promosi dan pembentangan mengenai Kelantan di Jakarta, jumlah penumpang melonjak daripada hanya empat orang kepada 118 orang.
Menurut beliau, laluan Kota Bharu-Jakarta kini beroperasi empat kali seminggu dan setakat ini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kadar tempahan yang semakin meningkat.
Kamarudin berkata, kerajaan negeri turut memasang hasrat menjadikan Kota Bharu sebagai hab penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi utama di rantau Asean.
Katanya, antara destinasi yang sedang dipertimbangkan ialah Bangkok di Thailand, Ho Chi Minh City di Vietnam dan Guangzhou di China.
"Kita mahu melihat kejayaan laluan ke Jakarta terlebih dahulu. Jika prestasinya terus memberangsangkan, kita akan memperluaskan lagi rangkaian penerbangan terus dari Kota Bharu ke beberapa destinasi lain.
Sementara itu, beliau dimaklumkan tiket penerbangan pergi dan balik bagi laluan Kota Bharu-Jakarta boleh diperoleh pada harga sekitar RM400 hingga RM500 sekiranya ditempah lebih awal.
Menurutnya, kadar tempahan untuk tempoh dua minggu akan datang turut mencatatkan sekitar 70 peratus, sekali gus menunjukkan permintaan yang memberangsangkan terhadap laluan baharu tersebut.