Bot langgar bongkah kayu, mangsa tercampak jatuh depan mata-Rakan

Iklan
Badrul Afiq berada di lokasi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

KUANTAN-"Bot yang kami naiki terlanggar bongkah kayu menyebabkan mangsa yang berada di bahagian depan tercampak jatuh ke dalam sungai.

"Walaupun kejadian berlaku di depan mata, saya tidak sempat menyelamatkannya segera disebabkan bot hilang kendalian hingga berpusing beberapa kali ketika itu,"

Iklan
Iklan

Demikian kata, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, rakan Muhammad Firdaus Zuharsema, 26 yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot di Sungai Kuantan berhampiran Taman Impian, Jalan Sungai Lembing di sini pada Selasa.

Katanya, selepas berjaya mengawal bot, dia segera mendekati mangsa yang masih terkapai-kapai dihanyutkan arus.

Iklan

" Ketika saya cuba mencapainya, mangsa tiba-tiba tenggelam. Saya panik dan segera meminta tolong.

"Kebetulan ada pemancing berhampiran datang untuk membantu dan menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan selepas menyedari mangsa sudah tenggelam," katanya.

Iklan

Dia ditemui di lokasi kejadian bersama bapa mangsa bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat rakannya itu.

Badrul Afiq yang berkerja di sebuah kilang di sini berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke jeti selepas keluar mencari ikan untuk umpan rawai baung.

"Kami keluar kira-kira jam 9.10 pagi dan kejadian berlaku sekitar jam 10 lebih. Sebelum kejadian kami sempat bersarapan makan nasi lemak di atas bot bersama.

"Kami bukan selalu turun ke sungai bersama, kebetulan hari ini kami berdua cuti, ada kesempatan untuk turun ke sungai mencari ikan namun tidak sangka perkara ini boleh berlaku," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala rakan selamat selepas terjatuh dari bot di sungai itu.

Susulan panggilan diterima, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi turut dibantu pasukan dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, Jabatan Amal Malaysia dan penduduk.