Bekalan ubat negara stabil, 14 jenis ubat berisiko tinggi dipantau rapi - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kebanyakan bekalan ubat di negara ini masih kekal mencukupi meskipun sebahagian kecil produk memerlukan pemantauan rapi di peringkat rantaian bekalan industri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga 8 Mei lepas, sebanyak 505 daripada 702 jenis ubat yang dipantau menerusi sistem pelaporan bulanan syarikat pemegang pendaftaran produk berada pada tahap risiko rendah kerana mempunyai bekalan melebihi 90 hari.

Iklan
Iklan

"KKM memantau 702 jenis ubat yang melibatkan 3,739 produk berdaftar menerusi pelaporan bulanan oleh syarikat pemegang pendaftaran.

"Daripada jumlah itu, 505 jenis ubat atau 72 peratus mempunyai stok melebihi 90 hari dan dikategorikan pada tahap risiko rendah," katanya kepada Bernama menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Nurhisham Hussein dilaporkan berkata, lebih 70 peratus bekalan ubat dalam sistem kesihatan awam berada pada paras melebihi tiga bulan dan pihak berkuasa memantau rapat sebilangan kecil item yang mempunyai inventori lebih rendah.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 79 jenis ubat atau 11.3 peratus mempunyai stok antara 60 hingga 90 hari dan dikategorikan sebagai berisiko sederhana, manakala 118 jenis ubat lagi atau 16.8 peratus mempunyai stok kurang daripada 60 hari serta diletakkan dalam kategori berisiko tinggi.

Iklan

Beliau berkata, kumpulan ubat yang berada dalam kategori risiko sederhana dan tinggi itu melibatkan pelbagai bidang terapeutik termasuk antibiotik, ubat kanser, vaksin, antidot, ubat psikiatri dan ubat kardiovaskular yang sedang dipantau rapi di peringkat rantaian bekalan industri.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata, hanya 14 daripada 118 jenis ubat berisiko tinggi itu dikenal pasti sebagai kritikal kerana melibatkan pemegang pendaftaran tunggal atau memerlukan tempoh penghantaran semula melebihi sebulan.

Antara ubat kritikal yang dipantau ialah Fluorouracil bagi rawatan kanser, Methylene Blue untuk prosedur diagnostik, Linezolid (antibiotik) dan Coal Tar Solution yang digunakan dalam rawatan psoriasis.

Beliau berkata, semakan bersama fasiliti kesihatan KKM dan syarikat konsesi mendapati 13 daripada 14 item kritikal berkenaan masih mempunyai stok melebihi 90 hari di fasiliti KKM.

"Satu lagi item iaitu Carbinoxamine Maleate/Pseudoephedrine Hydrochloride pula tidak tersenarai dalam Formulari Ubat KKM. Ini bermakna bekalan ubat kepada pesakit di fasiliti KKM pada masa ini masih mencukupi dan tidak terjejas," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, ubat-ubatan kritikal berkenaan juga mempunyai perancangan bekalan seterusnya, termasuk penghantaran stok tambahan yang dijadual diterima antara Jun hingga September ini.

Beliau berkata, KKM turut menjalankan pemantauan berterusan bersama pihak industri, pembekal dan fasiliti kesihatan bagi memastikan sebarang risiko gangguan bekalan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal. - Bernama