KOTA BHARU – Kemunculan parti-parti politik baharu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengubah landskap politik semasa, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, situasi itu seharusnya menjadi pembakar semangat kepada semua parti dalam PH untuk memperkukuhkan sokongan rakyat melalui prestasi dan penyelesaian masalah yang berkesan.
"Kehadiran parti-parti baharu sudah pasti kita tidak pandang sambil lewa dan tidak memandang mudah perkara itu.
"Ia seharusnya menjadi pembakar semangat kepada PKR, Amanah dan rakan-rakan dalam PH untuk melipatgandakan usaha mendekati rakyat, menyelesaikan masalah serta membuktikan bahawa cara kita mengurus dan menyelesaikan isu jauh lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan di sini pada Selasa.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR memberitahu, rakyat akan menilai kepimpinan berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah yang berlarutan dan bukannya retorik politik semata-mata.
Sebagai contoh, katanya, isu perumahan melibatkan komuniti di sekitar Taman Rimba Kiara yang berlarutan selama lebih empat dekad akhirnya dapat diselesaikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Rakyat perlu memilih pemimpin yang bersih dan baik, yang memikirkan masa depan rakyat serta berusaha menyelesaikan masalah mereka.
"Pemimpin seperti ini tidak memikirkan soal imej peribadi semata-mata tetapi memberi tumpuan kepada kebajikan dan masa depan masyarakat," katanya.