BN tidak tergugat dengan kewujudan parti politik baharu - Zambry

Iklan
Zambry menyantuni pelatih pada Majlis Peluncuran Program Rintis PLKN 3.0 Peringkat Universiti Awam di Panggung Percubaan, UPSI pada Selasa. Foto: Bernama

TANJUNG MALIM - Penubuhan parti politik baharu di negara ini tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kedua-dua PRN berkenaan dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja di kawasan yang akan ditandingi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, setiap pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti politik baharu, namun BN kekal konsisten dengan strategi serta tahap kesiapsiagaan yang telah dirancang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kewujudan Parti Wawasan Negara dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mampu menggugat kedudukan BN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Iklan

Terdahulu, Zambry, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, merasmikan Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Peringkat Universiti Awam sebelum menghadiri majlis peluncuran buku berjudul 'Nahas Gerik: UPSI Berduka' di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai ini, manakala PRN Negeri Sembilan pula pada 1 Ogos depan.

Iklan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempunyai 56 kerusi dengan BN menguasai 40 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Bagi DUN Negeri Sembilan pula, PH memiliki 17 daripada 36 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi. - Bernama

-