Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian

Iklan
Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

SUNGAI PETANI - Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian membabitkan dua anggota tentera terkorban semasa latihan di Lapang Sasar, Kem Hobart termasuk merakam keterangan saksi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama semua pihak berhubung insiden terbabit.

Iklan
Iklan

"Kedua-duanya sedang menjalani latihan menggunakan senjata berat ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa tertumpu pada bahagian atas badan iaitu dari pinggang ke atas.

Iklan

Menurutnya, seorang mangsa berusia 24 tahun manakala seorang lagi berusia 40 tahun.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan berkata, insiden berlaku ketika latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia, pada jam 10.57 pagi.

Dua anggota yang terlibat iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.