SEREMBAN – Penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah sebagai keldai akaun dalam sindiket penipuan dalam talian agak membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket biasanya menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebagai balasan kepada individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi urusan transaksi kewangan.
"Trend penggunaan keldai akaun melibatkan pelajar dan mahasiswa universiti semakin ketara. Kebanyakan kes melibatkan pelajar universiti.
"Apabila mangsa menyalurkan wang ke akaun tersebut, sindiket akan segera mengeluarkan wang berkenaan sebelum membayar upah kepada pemilik akaun," katanya ketika ditemui selepas Program Citra Negara Kementerian Dalam Negeri (KDN): Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, sindiket terbabit lazimnya menggunakan beberapa kad mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang secara berterusan sebaik sahaja transaksi diterima.
Justeru, Saifuddin berkata, kerajaan telah mengambil langkah tegas dengan meminda Kanun Keseksaan tahun lalu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak lain untuk transaksi.
"Sebelum ini, di bawah undang-undang, seseorang individu yang membenarkan akaunnya digunakan untuk tujuan transaksi kewangan oleh pihak lain bukanlah satu kesalahan.
"Kini, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan susulan pindaan yang kita lakukan tahun lalu," katanya.
Menurut beliau, selain penguatkuasaan undang-undang, kerajaan turut mempergiatkan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai risiko dan implikasi menjadi pemilik akaun keldai.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes penyebaran unsur ekstremisme dalam kalangan pelajar sekolah disifatkan sebagai terpencil, namun tetap dipandang serius kerana melibatkan aspek keselamatan negara.
"Kes ini saya sifatkan sebagai kes terpencil. Namun, elemen keselamatan, walau sekecil mana pun, tetap berada dalam radar polis dan kita menganggapnya serius.
"Kita tidak mahu berulangnya insiden serangan di sebuah balai polis di Johor, apabila penyerangnya yang masih berusia awal 20-an didapati terpengaruh dengan bahan-bahan daripada laman sesawang yang menganjurkan keganasan selepas rumahnya digeledah," katanya.