Enam syarikat terlibat kartel tipu tender RM5.7 juta - MyCC

Iklan
MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam perusahaan itu selepas didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Foto hiasan

SHAH ALAM - Enam perusahaan bakal berdepan penalti kewangan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida bagi bagi tender pembekalan makanan bernilai RM5.7 juta yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam perusahaan itu selepas didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati perusahaan berkenaan telah terlibat dalam perkongsian maklumat dan berpakat dalam penyediaan bidaan mereka.

"Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, semua perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan tersebut.

"Mereka juga boleh membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian," ujar beliau lagi.

Iklan

Idrus berkata, MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan semua representasi yang dikemukakan oleh perusahaan terbabit bersama bukti yang diperoleh sepanjang proses penyiasatan.