SIBU - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda City dan Toyota Hilux di Bulatan Pulau Dudong, KM26 Jalan Sibu-Kanowit, di sini pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 8.32 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati pemandu Honda City tersepit di dalam kenderaan dan operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas penyelamat.
"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Seorang lagi mangsa yang menaiki Honda City serta pemandu Toyota Hilux menerima rawatan awal akibat kecederaan sebelum diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. - Bernama